MESSI calon untuk memenangi anugerah Ballon d'Or tahun ini. FOTO EPA
MESSI calon untuk memenangi anugerah Ballon d'Or tahun ini. FOTO EPA
Agensi

London: Patrice Evra mengakui bosan melihat Lionel Messi memenangi anugerah Ballon d'Or dan berkata ada calon yang lebih layak memenangi anugerah itu pada tahun ini.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu adalah pilihan utama untuk memenangi anugerah itu pada bulan depan kerana membantu Argentina memenangi Copa America buat kali pertama selepas 28 tahun.

Bintang berusia 34 tahun itu adalah pemenang pada 2019 dengan majlis pada tahun lalu dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Di sebalik melalui musim yang sukar bersama Barcelona pada tahun terakhirnya bersama kelab itu sebelum berhijrah ke PSG, Messi kini berada dalam laluan untuk memenangi anugerah itu buat kali ketujuh selepas sudah memenanginya sebanyak enam kali sebelum ini.

Namun Evra percaya jika Messi memenangi anugerah itu sekali lagi, ia dilihat tidak adil, sebaliknya beliau lebih gemar melihat bintang Chelsea, N'Golo Kante dan Jorginho memenangi anugerah berprestij itu yang akan berlangsung di Paris.

Kedua-dua pemain itu menjadi watak penting kepada kejayaan Chelsea memenangi trofi Liga Juara-Juara dengan Kante dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan manakala Jorginho kemudian membantu Itali memenangi Euro 2020.

"Pada pendapat saya, anugerah Ballon d'Or ini untuk Kante atau Jorginho. Saya bosan ia diberikan kepada Messi.

"Apa yang dimenanginya tahun lalu? Hanya Copa America. Bersama Barcelona apa yang diraihnya?," kata bekas bintang Manchester United itu.

Meskipun Barcelona sekadar menamatkan saingan La Liga musim lalu di tempat ketiga dan tersingkir awal di Liga Juara-Juara, Messi membantu mereka memenangi saingan Copa del Rey.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 7:29 PM