DE Bruyne masih belum pulih kecederaan. FOTO Agensi
DE Bruyne masih belum pulih kecederaan. FOTO Agensi
AFP

Saint Petersburg: Kevin De Bruyne tersisih perlawanan pertama Belgium menentang Russia di Saint Petersburg awal pagi esok susulan masih dalam rawatan pemulihan akibat kecederaan di alami pada final Liga Juara-Juara.

Bintang tengah Manchester City itu tidak turut bersama skuad Roberto Martinez ke Russia tetapi dia berharap dapat beraksi perlawanan kedua Kumpulan B itu pada Khamis depan.

"Saya harap dapat bersedia untuk menentang Denmark," kata De Bruyne kepada Uefa.com.

Pemain berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan di muka selepas dikasari pertahanan Chelsea, Antonio Ruediger di Porto bulan lalu.

De Bruyne terpaksa digantikan dalam perlawanan yang menyaksikan City tewas 0-1.

Belgium turut bakal beraksi tanpa pemain tengah Borussia Dortmund, Axel Witsel yang masih belum pulih kecederaan otot.

Pasukan yang menduduki ranking nombor satu dunia itu menewaskan Russia dua kali pada pusingan kelayakan tetapi Martinez berkata mereka tetap tidak memandang mudah ancaman tuan rumah.

"Saya setuju perlawanan pertama selalunya paling sukar dalam kejohanan besar,'' kata jurulatih dari Sepanyol itu.

"Anda perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal. Ia akan menjadi ujian sebenar esok kerana kami tahu kemampuan Russia selain mereka mendapat sokongan penonton.''

Russia pula berharap dapat melepasi saingan peringkat kumpulan yang turut menampilkan Denmark dan Finland.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 7:28 AM