Penyerang Manchester United, Marcus Rashford. FOTO Agensi
Penyerang Manchester United, Marcus Rashford. FOTO Agensi
Agensi

London: Marcus Rashford dilaporkan mungkin dapat kembali menjalani latihan semula di Manchester United pada hujung bulan ini, seminggu lebih awal daripada tarikh yang dijangka selepas menjalani pembedahan.

Penyerang England itu menjalani pembedahan bahu dua minggu lalu dan menunjukkan peningkatan dalam tempoh pemulihan seterusnya bakal menyertai kem latihan United tidak lama lagi.

Pemain berusia 23 tahun itu akan menjalani latihan ringan dalam tempoh 10 hari berikutnya ketika Rashford bersedia membina kekuatannya kembali.

United memberitahu mereka begitu gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan Rashford dari proses pemulihan itu.

Rashford sebelum ini kerap dibelenggu kesakitan itu ketika beraksi di peringkat kelab mahupun saingan antarabangsa.

Dia sanggup mengetepikan kesakitan ketika beraksi bersama skuad England dalam kempen Euro 2020 bulan lalu di mana skuad Three Lions muncul naib juara selepas tewas kepada Itali pada final kejohanan Eropah itu.

Rashford berkongsi perkembangannya selepas menjalani pembedahan menerusi Twitter memaklumkan: "Terima kasih semua dengan ucapan dan doa. Saya menjalani pembedahan pada Jumaat pagi dan semuanya berjalan lancar.

"Kesan kesakitan selepas pembedahan masih teratas dan terdapat parut namun saya berasa sangat bagus. Saya harap anda semua melalui hari yang baik!"

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 3:14 PM