AFP

London: Erik ten Hag menjangkakan Marcus Rashford akan cergas untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Manchester United berkunjung ke Newcastle, esok selepas penyerang itu terlepas aksi antarabangsa bersama England baru-baru ini kerana kecederaan.

Rashford diketepikan daripada skuad England untuk perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Itali dan Ukraine selepas mengalami kecederaan semasa kemenangan suku akhir Piala FA ke atas Fulham.

Pemain berusia 25 tahun itu kemudiannya dilihat sedang berehat di New York ketika England beraksi, percutian yang menimbulkan persoalan mengenai komitmennya terhadap pasukan kebangsaan bimbingan Gareth Southgate.

Dia kembali berlatih minggu ini dan Ten Hag menjangkakan akan menyenaraikannya apabila menentang Newcastle.

"Dia berlatih tetapi dia perlu mendapatkan rawatan juga. Dia perlu melakukan beberapa latihan secara individu.

"Hari ini dia menyertai pasukan. Kami mempunyai satu hari lagi, jadi saya mempunyai harapan yang dia boleh beraksi," kata Ten Hag kepada pemberita.

Rashford sudah menjaringkan 19 gol dalam 25 penampilan bersama United sejak kembali dari Piala Dunia pada Disember tahun lalu.

Dia memuatnaik gambar dengan kapsyen 'masa rehat' semasa berada di New York dan Ten Hag menegaskan tempoh rehat itu bermanfaat untuk pemulihannya.

"Saya rasa Rashford bersama-sama dengan Bruno (Fernandes), adalah antara pemain yang banyak beraksi dalam skuad.

"Saya rasa Manchester United bermain paling banyak perlawanan di Eropah dan pemain antarabangsa kami kebanyakannya tidak berada di bangku simpanan, kebanyakannya mereka bermain.

"Jadi mereka juga memerlukan masa untuk berehat dan memulihkan tenaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 7:47 AM
RASHFORD (kiri) dijangka diturunkan apabila bertemu Newcastle, esok. FOTO AFP
RASHFORD (kiri) dijangka diturunkan apabila bertemu Newcastle, esok. FOTO AFP