UNITED bakal kehilangan khidmat Rashford. FOTO Agensi
UNITED bakal kehilangan khidmat Rashford. FOTO Agensi
AFP

London: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford akan menjalani pembedahan di bahu, kata gergasi Liga Perdana Inggeris itu, hari ini sekali gus bakal terlepas beraksi di awal musim liga.

Pemain berusia 23 tahun itu sudah sekian lama berdepan masalah berkenaan terutamanya sepanjang musim lalu dan ketika saingan Euro 2020.

Rashford adalah antara beberapa pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika tewas kepada Itali di pentas final.

Dia dijangka tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya sehingga Oktober dengan United menerusi satu kenyataan berkata: "Selepas mengadakan perbincangan antara Marcus, pengurus dan pasukan perubatan kelab, Marcus akan menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat untuk menyelesaikan masalah kecederaan bahunya.

"Dia kini akan fokus kepada proses pemulihan untuk kembali beraksi secepat mungkin."

United akan memulakan kempen Liga Perdana di halaman sendiri bertemu Leeds pada 14 Ogos dan kemungkinan terlepas beraksi lima perlawanan kempen kelayakan Piala Dunia bersama skuad kebangsaan.

Rashford ketika bercakap mengenai tahap kecergasannya di saingan Euro bulan lalu mengakui dia tidak berada pada prestasi terbaik pada separuh musim kedua 2020/21 yang menyaksikan United menamatkan saingan di kedudukan kedua Liga Perdana di belakang Manchester City.

"Jelas sekali saya tidak dapat menunjukkan prestasi terbaik dengan kemampuan sebenar saya," kata Rashford ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 9:41 PM