Kapten Barcelona, Gerard Pique meraikan gol pembukaan pasukan menentang Real Sociedad dalam aksi La Liga. FOTO EPA
Kapten Barcelona, Gerard Pique meraikan gol pembukaan pasukan menentang Real Sociedad dalam aksi La Liga. FOTO EPA
AFP

Madrid: Barcelona memulakan hidup tanpa Lionel Messi dengan menewaskan Real Sociedad 4-2 dalam saingan pembukaan mereka di La Liga dekat Camp Nou, awal pagi ini ketika penyokong mengakui mereka berasa seperti berada di tempat asing.

Kapten pasukan Gerard Pique meledak gol pembukaan pada minit ke-19 dan gol ke-50 peribadinya buat kelab itu.

Martin Braithwaite menemui sentuhan pada masa kecederaan babak pertama dan minit ke-59.

Sergi Roberto menambah gol keempat pada penghujung babak perlawanan.

Pemain Barcelona meraihkan kemenangan pasukan dalam aksi La Liga pagi ini. FOTO AFP
Pemain Barcelona meraihkan kemenangan pasukan dalam aksi La Liga pagi ini. FOTO AFP

Lebih 20,000 peminat menyaksikan perlawanan ketika penonton kembali buat pertama kali sejak pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menahan nafas mereka pada satu tahap apabila Socieda bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk merapatkan kedudukan 2-3 menerusi gol pemain berusia 20 tahun, Julen Lobete pada minit ke-82 dan sepakan percuma 30 meter oleh kapten pasukan, Mikel Oyarzabal tiga minit kemudian.

Messi pemenang enam kali anugerah Ballon d'Or mengakhiri karier dua dekad di Barcelona minggu lalu dan berpindah ke Paris Saint-Germain.

Kenangan Messi cukup kuat di Camp Nou sekalipun pengurusan kelab menanggalkan foto gergasi bintang Argentina itu dari pintu masuk sebagai kesedaran kepada perpindahan ke Perancis.

Beberapa banner diletakkan sebelum sepak mula menunjukkan kemarahan peminat terhadap presiden kelab Joan Laporta.

Di Camp Nou, peminat yang ramai hadir bersorak "Messi! Messi!". Beberapa poster menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

"Penyokong bersama kami, mereka mahu melihat bola sepak," kata Pique.

"Kami tahu mereka akan bertindak sedemikian. Kami semua tahu apa yang ditampilkan Leo, tetapi semuanya berubah dan kami harus meneruskan perjuangan.

"Kami masih sangat kompetitif dan kami akan bertarung untuk gelaran hingga penamat. Kami mungkin tiada bakat sepertinya (Messi), tapi kami membuktikan boleh bermain secara bersama."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 8:10 AM