CONTE (kanan) berkata sesuatu kepada Messi. FOTO/AFP
CONTE (kanan) berkata sesuatu kepada Messi. FOTO/AFP
AFP

BARCELONA: Antonio Conte berkata beliau percaya Lionel Messi akan setia bersama Barcelona sepanjang kariernya selepas bintang Argentina itu meranapkan harapan Chelsea dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Messi, 30, meledak dua gol dan mencipta satu umpanan bagi jaringan Ousmane Dembele ketika gergasi Catalan itu menewaskan Chelsea 3-0 di Nou Camp untuk mara dengan agregat 4-1.

Dua jaringan itu menyaksikan Messi menambah jumlah jaringannya dalam kempen Liga Juara-Juara kepada 100 gol dengan gol pertama yang disumbat selepas 129 saat perlawanan berlangsung adalah terpantas sepanjang kariernya.

Messi kerap dikaitkan dengan perpindahan membabitkan jumlah cukup lumayan ke kelab di Liga Perdana Inggeris tetapi Conte yakin penyerang itu akan menggantung but di Barcelona. Barcelona.

“Saya fikir Leo mahu kekal sehingga penghujung kariernya dengan Barcelona,” kata Conte. “Kita bercakap mengenai situasi yang mustahil. Saya ulangi: Kita perlu menghormati pemain ini.

“Kita bercakap mengenai pemain yang menakjubkan. Saya fikir dia mahu kekal di Barcelona sehingga penghujung kariernya. Saya fikir ia adalah sesuatu yang tepat untuknya.

“Dia bersama rakan sepasukannya menulis cerita yang hebat di Barcelona.”

Selepas perlawanan berakhir, Conte meninggalkan padang sambil memeluk bahu Messi tetapi skuad kendaliannya turut berpeluang untuk mencipta jaringan tetapi segala peluang dinafikan oleh tiang gol terutama daripada Marcos Alonso dan Antonio Rudiger.

Alonso juga merasakan dia sepatutnya mendapat sepakan penalti pada babak kedua selepas dijatuhkan oleh Gerard Pique tetapi dinafikan oleh pengadil.

Di luar padang, Barcelona berkemungkinan berdepan soalan daripada badan induk, UEFA mengenai tindakan penyokong mereka sebelum perlawanan di luar stadium.

Chelsea menasihatkan mana-mana penyokong mereka yang berdepan dengan masalah di Nou Camp untuk menghubungi kelab itu.

“Kami sedar dengan laporan mengenai insiden di luar stadium sebelum perlawanan di mana beberapa peminat Chelsea mengalami kecederaan.

“Kami meminta peminat kami untuk menghubungi kami untuk menceritakan pengalaman mereka ketika tiba di stadium supaya kami boleh membawa perkara ini kepada pihak berkuasa,” kata jurucakap Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:51 AM