AFP

Barcelona: Sambil menangis pada sidang media di Barcelona, hari ini, Lionel Messi menyatakan ada kemungkinan dia akan menyertai kelab gergasi Perancis, Paris St-Germain.

PSG antara beberapa kelab kaya mampu menyunting bintang Argentina itu yang mengesahkan akan meninggalkan Barca, iaitu kelab tunggal diwakili sepanjang kariernya.

Perpindahan ke Paris akan menyaksikan Messi, 34, bergabung dengan rakan baiknya, Neymar dan mereka pernah bermain bersama-sama di Barcelona.

Bagaimanapun, Messi berkata tiada apa-apa tandatangan dibuat dengan mana-mana pihak dan menegaskan gambar tersebar di media sosial mengenainya percutiannya dengan bintang PSG termasuk Neymar dan Angel Di Maria hanyalah sekadar gambar.

Menurutnya, tidak timbul persoalan dia kini dalam perjalanan menuju ke Parc des Princes, sambil menyatakan kelab lain turut berminat mendapatkan khidmatnya.

PENYERANG Argentina, Lionel Messi menangis ketika mengadakan sidang media di Camp Nou, hari ini, selepas mengesahkan akan meninggalkan Barcelona. FOTO AFP
PENYERANG Argentina, Lionel Messi menangis ketika mengadakan sidang media di Camp Nou, hari ini, selepas mengesahkan akan meninggalkan Barcelona. FOTO AFP

"Apabila kenyataan media mengenai saya meninggalkan Barcelona disiarkan, saya menerima banyak panggilan telefon daripada kelab berminat," katanya kepada wartawan yang bertepuk tangan selama beberapa minit ketika dia muncul di pentas untuk memulakan sidang media.

"Buat masa sekarang, tiada apa-apa perjanjian lagi, tetapi kami masih berbincang."

Menurut akhbar Le Parisien, perjanjian antara PSG dan Messi akan diadakan pada lewat hari ini.

Akhbar sukan harian Perancis, L'Equipe menjangkakan kontrak dengan rekod termahal dunia dalam tempoh tiga tahun dengan pendapatan bersih sekitar RM199 juta setahun (40 juta euros).

Messi mungkin menandatangani kontrak dua tahun dengan tambahan setahun lagi.

Media Sepanyol melaporkan pemenang Liga Juara-Juara Eropah empat kali itu akan menerima bonus tandatangani kontrak sekitar RM149 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 7:25 PM