WERNER (kiri) berjaya meledak gol ketika berdepan Villa dalam saingan Piala Liga. FOTO AFP
WERNER (kiri) berjaya meledak gol ketika berdepan Villa dalam saingan Piala Liga. FOTO AFP
AFP

London: Timo Werner berharap kemarau jaringannya bersama Chelsea yang sudah berakhir membolehkannya untuk kembali pada tahap sebenar selepas bergelut mencapai puncak prestasi di Stamford Bridge.

Werner menanduk masuk gol pembukaan Chelsea di pusingan ketiga Piala Liga ketika menentang Aston Villa semalam.

Ia adalah gol pertama Werner dalam 11 perlawanan, sekali gus mampu untuk mengembalikan kepercayaan bahawa dia mampu menjadi aset buat The Blues yang dalam usaha memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain berusia 25 tahun itu bermula dengan agak mengecewakan di musim pertama bersama Chelsea dan kehadiran semula penyerang Belgium, Romelu Lukaku dari Inter Milan mungkin membuatkan Werner berasa sakit hati.

Werner mengakui bahawa dia masih lagi cuba untuk memperkuatkan mentalnya pada permulaan musim ini selepas Jerman disingkirkan England di Euro 2020.

Sekarang dia percaya mampu untuk memulakan kempen dengan lebih cerah selepas meledak gol menentang Villa.

"Ia sesuatu yang positif dapat mencetak nama sebagai penjaring, gembira dapat menjaringkan gol di Stamford Bridge dan gembira saya dapat kembali ke padang.

"Saya rasa dalam beberapa minggu sebelum ini ia tidak begitu menyenangkan buat saya namun setiap gol, hantaran menghasilkan jaringan akan membuatkan saya kembali ke landasan terbaik, jadi ia sangat baik buat saya dan pasukan," katanya.

Penjaga gol Sepanyol, Kepa Arrizabalaga menyelamatkan sepakan dalam penentuan penalti untuk mencatat rekod baru buat Chelsea iaitu menyelamatkan tujuh sepakan penalti, mengatasi rekod lama yang dilakar Petr Cech.

Arrizabalaga juga muncul wira dalam penentuan Piala Super UEFA ketika berdepan Villarreal Ogos lalu.

"Kepa sangat luar biasa dalam penentuan penalti. Musim ini saja dia sudah menyelamatkan peluang dua kali untuk meraih kejuaraan. Dia seorang yang hebat dan penjaga gol yang handal," kata Werner.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 11:21 AM