TUCHEL kembali turunkan Mendy menjelang aksi menentang City. FOTO EPA
TUCHEL kembali turunkan Mendy menjelang aksi menentang City. FOTO EPA
AFP

London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel berkata hubungannya tidak akan renggang dengan Kepa Arrizabalaga selepas penjaga gol itu diketepikan untuk memberi laluan kepada Edouard Mendy menjelang pertemuan dengan Manchester City hari ini.

Penjaga gol kelahiran Senegal, Mendy terlepas dua aksi apabila mengalami kecederaan pinggul dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu ketika berdepan Zenit Saint Petersburg.

Ketika ketiadaan Mendy, Arrizabalaga tidak melepaskan sebarang gol sewaktu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Tottenham, selepas itu menyelamatkan sepakan penalti dalam membantu The Blues menumpaskan Aston Villa di Piala Liga.

Dia juga menjadi wira dalam satu lagi aksi penentuan penalti ketika Chelsea mengalahkan Villarreal untuk meraih trofi Piala Super UEFA Ogos lalu.

Bagaimanapun, aksi mantap yang dipamerkan Arrizabalaga tidak cukup untuk mengekalkannya terus berada di gawang menentang City selepas Tuchel mengesahkan Mendy kembali diturunkan.

Ditanya wartawan keputusan itu bakal menghadirkan masalah dalam hubungannya bersama Arrizabalaga, Tuchel berkata, beliau sudah menjelaskan kepada bekas penjaga gol Athletic Bilbao itu bahawa Mendy adalah pilihan utama.

"Kami di sini memang mahu melonjakkan Kepa untuk berada pada tahap tertinggi. Dia sangat luar biasa dan kami gembira mempunyai pemain sepertinya.

"Bagaimanapun, Mendy buat masa sekarang adalah pilihan utama dan dia sudah bersedia untuk diturunkan. Perkara ini mudah saja, tidak seteruk mana pun. Tidak ada perasaan benci membenci antara satu sama lain.

"Inilah Chelsea, persaingan sentiasa berlaku pada tahap tertinggi. Mereka berdua adalah rakan, tidak ada perasaan benci. Dia tidak akan datang ke pejabat saya dan kata dia tidak gembira," kata Tuchel.

Tuchel berjaya membuktikan kehebatannya dengan mencatat tiga kemenangan berturut-turut ketika berdepan City, termasuk dalam perlawanan akhir UCL musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 11:19 AM