REAKSI   Arrizabalaga (kanan) selepas dia diarahkan keluar oleh Sarri.
REAKSI Arrizabalaga (kanan) selepas dia diarahkan keluar oleh Sarri.
Reuters

“HANYA salah faham kerana saya dimaklumkan dia mengalami kekejangan. Jadi saya tidak mahu penjaga gol (Kepa Arrizabalaga) untuk menghadapi penentuan penalti dengan situasi fizikal seperti itu,” kata pengurus Chelsea Maurizio Sarri selepat tamat final Piala Liga menentang Manchester City di Wembley, awal pagi tadi.

Kepa tampak seperti mengalami kecederaan ketika dia menghalang percubaan penyerang Manchester City, Sergio Aguero pada lewat tambahan masa dan Sarri kemudian mengarahkannya untuk keluar ketika perlawanan hampir ditamatkan.

Begitupun, ketika pertukaran sudah pun ditayangkan pegawai permainan keempat di Wembley dengan penjaga gol simpanan, Caballero bersedia untuk masuk, Kepa bertegas dia masih cergas dan mahu kekal di dalam padang.

Situasi itu jelas membuatkan Sarri berang dan kemuncaknya Chelsea tewas menerusi penentuan penalti 4-3 selepas permainan selama 120 minit berakhir 0-0.

“Penjaga gol hanya mahu memberitahu saya bagaimana keadaannya untuk menghadapi penalti. Ia hanya satu salah faham yang besar. Kepa betul tetapi cara yang dilakukannya salah.”

Dengan Chelsea dijadual menentang seteru tetangga London, Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Khamis ini, bekas kapten Chelsea, John Terry yang bekerja sebagai pengulas berkata ‘menarik’ untuk melihat jika Kepa dapat mengekalkan kedudukannya.

Seorang lagi bekas pemain Chelsea, Chris Sutton, menggambarkan situasi itu sebagai ‘pemberontakan.’

“Beliau disabotaj, ia adalah perkara paling buruk boleh berlaku kepada pengurus,” kata Sutton kepada BBC.

Sarri berkata dia akan berjumpa dengan Kepa yang menjadi penjaga gol termahal dunia selepas menyertai Chelsea dengan nilai AS$90.75 juta (RM370.12 juta) tahun lalu mengenai apa yang berlaku.

“Saya mahu bercakap dengannya kerana dia perlu mengerti yang salah faham boleh mendatangkan masalah kepada kami, terutama daripada kamu. Jadi saya fikir saya perlu menjelaskan situasi itu kepada Kepa tetapi tanpa ada sebarang masalah,” kata Sarri yang menafikan beliau sudah tidak dapat mengawal pemainnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 9:27 AM