STERLING (kiri) kurang mendapat tempat dalam skuad Guardiola.
STERLING (kiri) kurang mendapat tempat dalam skuad Guardiola.
AFP

London: Chelsea semakin hampir menandatangani pemain utama pertama mereka dalam era Todd Boehly di Stamford Bridge selepas dilaporkan mencapai persetujuan terma peribadi dengan pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling.

Sky Sports melaporkan perpindahan Sterling ke London akan menjadi kenyataan walaupun yuran perpindahan belum dipersetujui di antara kedua-dua kelab..

Sterling, 27, kini dalam tahun terakhir kontraknya di Etihad tetapi City dijangka tidak akan melepaskannya dengan harga kurang daripada £45 juta (RM237.42 juta).

Pemain antarabangsa England itu menjuarai empat gelaran Liga Perdana yang juga antara sembilan trofi utama diraihnya sejak berpindah ke City dari Liverpool pada 2015.

Muncul pemain tonggak pada awal era Pep Guardiola di City, Sterling meledak 131 gol dalam 337 penampilan bersama juara Inggeris itu.

Namun tempatnya dalam kesebelasan utama City semakin tergugat selepas kehadiran Jack Grealish yang mencipta rekod Liga Perdana dengan harga £100 juta (RM527.48 juta) tahun lalu selain kecemerlangan Phil Foden yang digilap daripada akademi mereka.

City turut memperkasakan barisan serangan untuk musim baharu dengan mendapatkan Erling Haaland dan Julian Alvarez.

Chelsea mencari penyerang selepas melepaskan Romelu Lukaku kembali ke Inter Milan secara pinjaman selepas hanya setahun mendapatkan penyerang Belgium itu dengan harga £97 juta (RM511 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 7:34 AM