FODEN (kanan) perlu berehat lagi sebulan akibat kecederaan yang dialami ketika Euro 2020. FOTO EPA
FODEN (kanan) perlu berehat lagi sebulan akibat kecederaan yang dialami ketika Euro 2020. FOTO EPA
AFP

London: Pemain tengah Manchester City, Phil Foden bakal terlepas bulan pertama musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali sejak di Euro 2020.

Pemain berusia 21 tahun itu terlepas aksi final yang menyaksikan Itali menumpaskan England berikutan kecederaan berkenaan dan dia dijangka tidak dapat diturunkan sebelum rehat aksi antarabangsa pada September.

City akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan EPL dengan berkunjung ke Tottenham Ahad ini tatkala Foden juga terlepas peluang dalam aksi menentang Norwich dan Arsenal.

"Saya masih lagi merasai kesakitan. Ia memang sangat mengecewakan cedera sebelum final Euro. Saya sangat kurang bernasib baik tapi saya bekerja keras di gimnasium dan berharap dapat kembali secepat mungkin.

"Saya boleh katakan ia akan mengambil masa tiga atau empat minggu. Saya berharap ia cepat dan boleh kembali ke padang," kata Foden.

Kecederaan Foden bermakna dia perlu menunggu untuk beraksi bersama rakan sepasukan England, Jack Grealish, yang menjadi pemain pertama Britain bernilai £100 juta (RM587 juta) selepas berpindah dari Aston Villa minggu lalu.

"Saya sangat gembira dia hadir ke sini dan berharap dapat kembali secepat mungkin untuk beraksi bersamanya dan menikmati permainan saya.

"Dia tidak takut ketika memegang bola dan mampu mengubah permainan secara solo. Dia sangat istimewa buat kami dan akan menjadi tunjang utama pasukan," kata Foden.

Pemain perancang City, Kevin De Bruyne juga akan terlepas aksi pertama EPL kerana mengalami kecederaan ligamen buku lali ketika beraksi bersama Belgium di Euro 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 9:48 AM