Alfusainey (kanan) dan Zafuan bersalaman sambil diperhatikan jurulatihnya, Nazrulerwan Makmor (tengah). FOTO Ihsan KUFC
Alfusainey (kanan) dan Zafuan bersalaman sambil diperhatikan jurulatihnya, Nazrulerwan Makmor (tengah). FOTO Ihsan KUFC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Dua pemain Kelantan United Football Club (KUFC), Gassama Alfusainey dan Zafuan Azeman yang terbabit dalam insiden pergaduhan sesama sendiri akhirnya berdamai.

Kedua pemain itu mengakui kesalahan masing-masing dan mengambil keputusan berbaik demi kepentingan pasukan.

Gassama berkata, dia memohon maaf kepada pihak kelab, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL), pegawai, jurulatih dan semua pemain atas tindakannya dalam perlawanan menentang Perak FC II di Stadium Ipoh, Perak.

Katanya, dia mengakui kesilapan kerana gagal mengawal emosi ketika wisel ditamatkan menyaksikan kad merah dilayangkan selepas dia mengasari Zafuan.

Zafuan juga turut melahirkan rasa kesal atas kejadian dan menganggap isu itu selesai selepas mereka berdamai.

Katanya, dia memohon maaf atas kesilapan berkenaan dan akan jadikan insiden sebagai pengajaran.

"Saya tekad akan memberi sepenuh komitmen seterusnya membantu pasukan menamatkan musim ini di kedudukan terbaik liga," katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan dalam kenyataan kepada media memaklumkan perdamaian itu dicapai hasil pertemuan kedua pemain semalam dan mencapai kata sepakat untuk saling bermaafan.

Pasukan menyambut baik sikap profesional Gassama dan Zafuan dan akan meneruskan fokus kepada baki enam lagi perlawanan Liga Perdana.

"Pihak pengurusan tidak akan berkompromi dengan masalah disiplin pemain, kami sudah menyiasat sebaiknya insiden itu dan berpuas hati dengan perbincangan yang dicapai.

"Diharap insiden ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan," kata kenyataan media berkenaan.

Terdahulu, import dari Gambia itu dan seorang lagi pemain KUFC, Muhamad Asraff Alifuddin Yasin turut digantung perlawanan selepas keduanya bertindak mengasari pemain lain dalam perlawanan di Perak pada 28 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:11 PM