AKSI import KUFC, Alfusainey (baju merah) ketika menentang Perak II di Stadium Sultan Muhammad IV. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
AKSI import KUFC, Alfusainey (baju merah) ketika menentang Perak II di Stadium Sultan Muhammad IV. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pengendali Kelantan United Football Club (KUFC), Akira Higashiyama menyifatkan perlawanan dengan Perak II sesuatu yang tidak mudah meskipun menang 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana, petang semalam.

Akira berkata, faktor pemain muda pelawat memberi banyak kesukaran untuk pemainnya bertahan hingga ke minit akhir perlawanan walaupun menjaring gol seawal minit pertama menerusi import, Gassama Alfussainey.

Katanya, Perak II bermain dengan cemerlang dan memberi saingan sengit untuk anak buahnya mempertahankan kemenangan memburu tiga mata dalam perlawanan semalam.

"Perak II memberi banyak masalah kepada kami, namun saya gembira kerana akhirnya kita mampu bertahan dan menang perlawanan ini.

"Kita memang dahagakan kemenangan dan mahu mengekalkan kejayaan dengan mengumpul tiga mata lagi di permainan akan datang," katanya.

Jurulatih dari Jepun itu berkata, beliau akan menilai semula perlawanan yang dilalui semalam dan berharap pemainnya akan menyiapkan diri bagi menghadapi saingan seterusnya, JDT II di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu,Selasa ini.

Akira berkata, dia juga berharap momentum kemenangan pasukan the green deer terus kekal cemerlang walaupun jarak perlawanan agak singkat iaitu tiga hari setiap perlawanan.

Semalam, KUFC menang lagi apabila mendahului Perak II dengan keputusan 2-1 menyaksikan KUFC kini berada di kedudukan ke lima carta liga perdana musim 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 2:57 PM