DUA pemain UiTM FC mengasak bintang JDT, Akhyar Rashid. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DUA pemain UiTM FC mengasak bintang JDT, Akhyar Rashid. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora menegaskan corak permainan ditampilkan barisan pemainnya bukan seperti dirancang selepas bergelut mencipta kemenangan 3-1 ke atas UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, semalam.

Katanya, apa yang dipamerkan barisan pemainnya terutama pada babak pertama tampak begitu gugup dan kerap melakukan kesalahan yang memudahkan UiTM FC mengimbangi corak permainan sehingga mampu menjaringkan gol.

"Ia aksi yang sukar pada 35 minit babak pertama walaupun kami mengawal permainan dan gerakan tapi hanya sedikit kesilapan ketika penghujung babak pertama, UiTM FC mengambil kesempatan menjaringkan gol.

"Lawan tampil corak permainan tersusun dan bertahan dengan kemas sehingga kami sukar memecah benteng mereka. Namun kami sedar apa yang berlaku dan apabila aksi bersambung pemain tampak mahu bangkit daripada persembahan kurang meyakinkan di babak pertama," katanya.

Ditanya mengenai perubahan di saat akhir apabila mengeluarkan Leandro Velazquez walaupun pada awalnya tersenarai dalam kesebelasan utama, Mora menegaskan pemain itu mengalami kecederaan dan memasukkan Nazmi Faiz Mansor di posisi tengah.

Katanya, kecederaan tidak serius namun enggan mengambil risiko dan bertindak melakukan rombakan kecil kerana Velazquez perlu pulih sepenuhnya untuk aksi menentang Selangor, Rabu ini dan ia aksi penting buat JDT.

Sementara itu, pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt jelas kecewa dengan kualiti permainan barisan pemainnya walaupun pada babak pertama mereka mampu memberi tentangan sengit terhadap anak didik Benjamin Mora dengan mencipta gol pada penghujung aksi pertama.

"Apabila aksi bersambung pada babak kedua, pemain saya seolah-olah terpaku dengan corak permainan pantas yang dipamerkan JDT dan mereka hilang konsentrasi sehingga membuka ruang buat lawan menjaringkan gol.

"Kami turun dengan barisan agak tempang selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan dan menurunkan pemain bawah 21 tahun yang bermain dengan baik tapi ia tidak bertahan lama dan kami dihukum dengan kekalahan.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 2:41 PM