GANDINGAN Safiq Rahim (kiri) dan Leandro Velazquez (kanan) mencetus kemenangan buat JDT. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
GANDINGAN Safiq Rahim (kiri) dan Leandro Velazquez (kanan) mencetus kemenangan buat JDT. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun tampak bergelut untuk meraih kemenangan namun ia tetap menggembirakan pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora selepas skuad bimbingannya meraih tiga mata pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, di Bangkok, Thailand, semalam.

Kemenangan 1-0 ke atas kelab dari Thailand, Ratchaburi hasil jaringan tunggal Leandro Velazquez pada awal babak pertama memberi lebih keyakinan buat JDT untuk mengharungi baki empat aksi yang diadakan secara dua pusingan.

Malah Mora sendiri tidak dapat menyembunyikan kegembiraan tatkala ia bagaikan hadiah bermakna buat dirinya yang menyambut hari jadi pada aksi itu semalam, namun pengendali kelahiran Mexico itu bersimpati dengan penyerang, Bergson Da Silva yang gagal menyudahkan sepakan penalti pada aksi babak pertama.

"Saya dapat rasai perasaan Bergson yang jelas kecewa kerana gagal menyudahkan sepakan penalti tapi dia bersikap positif apabila sering beri ancaman ke kubu lawan dan hampir menjaringkan gol. Mungkin bukan hari dia menjaringkan gol.

"Barisan pemain saya berdepan aksi sukar apabila menentang pemain Ratchaburi yang berkelebihan bermain di tempat mereka sendiri, malah pasukan lawan begitu agresif menyusun serangan tapi kami mampu mengimbang kekuatan mereka pada babak pertama.

"Selepas gagal menyudahkan sepakan penalti di babak pertama, kami tidak hilang fokus, sebaliknya tampil dengan corak permainan lebih tersusun pada babak kedua dan kerja keras itu membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan gol," kata Mora

Mora juga menegaskan corak permainan pada aksi menentang skuad kendalian Sek-san Siripong adalah sama apa yang ditampilkan ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan memberi tumpuan menyerang sambil mengawal perlawanan dan mengekalkan tempo permainan.

Dalam pada itu, pemain terbaik perlawanan, Velazquez mengakui JDT terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol dan ia agak merisaukan tatkala misi utama dalam tempoh 45 minit pada perlawanan untuk memburu gol.

"Jurulatih (Mora) tetap beri kata semangat ketika rehat dan mengingatkan kami semua supaya tidak beraksi dalam tekanan sebaliknya fokus pada aksi babak kedua dan itu yang kami lakukan apabila mengasak ke kubu lawan.

"Kami perlu percaya kepada diri masing-masing dan saya sendiri sedar perlu beri persembahan terbaik untuk membantu JDT menang.

"Saya terima bola umpanan Safiq (Rahim) dengan pantas saya memusing badan dan merembat bola ke arah gol dan gembira bola menerjah jaring," kata Velazquez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 12:35 PM