BERNHARDT menegaskan terpaksa mengeluarkan Joel Vinicius selepas mengalami kecederaan dan situasi itu menjejaskan posisi serangan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERNHARDT menegaskan terpaksa mengeluarkan Joel Vinicius selepas mengalami kecederaan dan situasi itu menjejaskan posisi serangan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt jelas kecewa dengan kualiti permainan barisan pemainnya selepas terpaksa akur tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, malam tadi.

Bernhardt tampak geram dengan corak permainan yang ditampilkan kesebelasan utama walaupun di babak pertama mampu beri tentangan sengit terhadap anak didik Benjamin Mora tatkala mencipta gol pada penghujung aksi pertama.

"Apabila aksi bersambung pada babak kedua, pemain saya seolah-olah terpaku dengan corak permainan pantas yang dipamerkan JDT dan mereka hilang tumpuan sehingga membuka ruang buat lawan menjaringkan gol.

"Kami turun dengan barisan agak tempang selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan dan menurunkan pemain bawah 21 tahun yang tampak bermain dengan baik tapi ia tidak bertahan lama dan kami dihukum dengan kekalahan.

"Memang kami tahu untuk menang ke atas JDT begitu sukar tapi kami mampu beri tekanan kepada pasukan lawan yang tampak bergelut untuk beraksi dengan lebih konsisten tapi kami mampu beri tentangan hanya pada babak pertama.

"Namun pada babak kedua, kami bagaikan tidak mampu bertahan lagi dan beberapa kesilapan mudah memberi ruang buat JDT mudah menghukum kami," katanya.

Pengendali kelahiran Jerman itu juga menegaskan terpaksa mengeluarkan Joel Vinicius selepas mengalami kecederaan dan situasi itu menjejaskan posisi serangan tatkala pemain itu sering beri tekanan terhadap benteng JDT.

"Joel sudah mengalami kecederaan ketika menyertai UiTM FC dan hanya menjalani latihan ringan namun dia tetap mahu diturunkan pada perlawanan itu dan ia aksi pertama beraksi dalam tempoh yang lama," katanya.

Ditanya sama ada UiTM FC mampu mencipta kemenangan pertama dalam saingan liga, Bernhardt optimis pasukan bimbingannya akan menamatkan badi tanpa kemenangan sebelum saingan berakhir.

"Kami enggan kecewa lagi dan akan tampil dengan corak taktikal berbeza apabila turun beraksi pada baki saingan liga. Saya optimis UiTM FC akan lakar kemenangan pertama," kata Bernhardt.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 3:39 PM