AKSI antara Selangor FC 2 dan NSFC dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini. FOTO Ihsan NSFC.
AKSI antara Selangor FC 2 dan NSFC dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini. FOTO Ihsan NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memintas Sarawak untuk menduduki puncak carta Liga Perdana buat seketika selepas sekadar merekodkan keputusan seri 0-0, dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.

Sarawak masih mengekalkan kedudukan di puncak carta yang berkelebihan dengan satu iaitu 24 mata berbanding Negeri Sembilan yang mengumpul 23 mata.

Tempoh 25 minit pertama perlawanan memperlihatkan kedua-dua pasukan gagal menembusi bahagian benteng masing-masing.

Tempoh rehat panjang mungkin mempengaruhi tempoh persembahan mereka apabila aksi yang dipamerkan tidak seperti mana diharapkan.

Negeri Sembilan yang menurunkan dua pemain import baharu mereka iaitu Kouassi Francis Kone dan Javabilaarivin Nyanasegar, juga dilihat belum memberi impak positif kepada jentera serangan pasukan itu.

Negeri Sembilan berpeluang mendapatkan gol yang dicari apabila memperoleh sepakan penalti pada minit ke-40 selepas Francis Kone dijatuhkan oleh pertahanan lawan dalam kotak penalti.

Bagaimanapun sepakan yang diambil kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, yang menyepak ke sebelah kanan pintu gol berjaya ditepis penjaga gol Selangor II, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Namun, separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal mendapatkan gol yang dicari.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan cuba memperkemaskan jentera serangan mereka untuk mendapatkan gol.

Pada minit ke-69, cubaan Zaquan Adha dari jarak kira-kira 25 meter di luar kotak penalti ditepis keluar Sikh Izhan Nazrel.

Usaha kedua-dua pasukan untuk mendapatkan gol terus buntu apabila perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 11:36 PM