DEVAN pada sidang media. FOTO Mohd Amin Jalil
DEVAN pada sidang media. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Kita kehilangan dua mata berharga di tempat sendiri malam ini (malam tadi)," kata ketua jurulatih Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC), K Devan.

Beliau melahirkan rasa terkilan dengan keputusan dicapai skuad bimbingannya selepas mencatatkan keputusan seri 0-0 dengan pasukan Selangor FC 2, dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Devan berkata, walaupun berjaya menguasai sebahagian tempoh permainan, ketumpulan barisan depan memanfaatkan setiap peluang jaringan, membolehkan mereka terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata dengan pasukan dari Lembah Klang itu.

"Kita berjaya menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan, tapi pemain (barisan depan) gagal menjaringkan gol.

"Malah, sepakan penalti yang diperoleh juga terlepas. Saya rumuskan aksi malam ini kurang menjadi dan tidak menolak ia adalah impak daripada tempoh rehat yang panjang.

"Harus diketahui ini adalah perlawanan pertama Negeri Sembilan sejak liga berehat kerana kita tidak dapat mengadakan aksi persahabatan sepanjang tempoh itu," katanya kepada media selepas perlawanan malam tadi.

Pengendali berpengalaman itu juga menafikan penyerang import baharu, Kouassi Francis Kone kurang berbisa, sebaliknya pemain berusia 30 tahun berasal dari Ivory Coast itu sudah menunjukkan komitmen tinggi dalam persembahannya.

"Saya yakin dia akan bertindak lebih cemerlang pada perlawanan akan datang selepas membentuk gandingan lebih mantap di barisan hadapan bersama Mohammad Zaquan Adha Abd Radzak," katanya.

Beliau turut memuji persembahan penjaga gol Selangor 2, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, yang dilihat memperagakan aksi cemerlang dengan menyelamatkan gawangnya dari dibolosi.

"Jika tidak kerana kecekapan penjaga gol Zikh Izhan, kemenangan hampir pasti boleh dicapai," katanya.

Bagi pengendali Selangor 2, Michael Feichtenbeiner, beliau ternyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang berjaya membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan.

Menurutnya, pemain berjaya bertindak agresif mengekang serangan Negeri Sembilan dan menafikan beberapa percubaan merbahaya.

"Saya puas hati dengan persembahan pemain yang kekal fokus sepanjang tempoh permainan, malah berjaya mencipta beberapa peluang jaringan.

"Harus diketahui bukan suatu tugas mudah berhadapan pasukan lebih berpengalaman. Satu mata dari gelanggang lawan tetap berharga dan ia pastinya memberi suntikan semangat buat pemain untuk berhadapan aksi berikutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 2:52 PM