LOEW tidak mahu penyokong terlalu bergembira selepas mengalahkan Portugal. FOTO AFP
LOEW tidak mahu penyokong terlalu bergembira selepas mengalahkan Portugal. FOTO AFP
AFP

Munich: Joachim Loew berusaha melegakan kegusaran penyokong Jerman di Euro 2020 selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Portugal sekali gus meningkatkan peluang pasukannya untuk mara ke pusingan kalah mati.

Jerman bangkit selepas tumpas dalam aksi pembukaan Kumpulan F kepada juara Piala Dunia, Perancis dengan mencatat kemenangan ke atas penyandang juara awal pagi tadi tatkala Kai Havertz dan Robin Gosens berjaya menyinar pada perlawanan berkenaan.

Keputusan perlawanan di Munich itu menyebabkan persaingan kumpulan berkenaan terbuka namun Jerman harus mengalahkan Hungary yang berjaya mengikat Perancis 1-1, jika mahu mara ke peringkat 16 terakhir.

"Aksi seterusnya akan lebih sukar, kerana Hungary lebih gemar bertahan dan mereka akan bertahan dengan menggunakan lapan atau sembilan pemain," kata Loew.

Selepas kemenangan ke atas Portugal, jalan raya di Munich dipenuhi penyokong yang meraikan kejayaan itu selepas kali terakhir ketika Jerman muncul juara Piala Dunia pada 2014 di Brazil.

Bagaimanapun, Loew yang memimpin pasukan buat kali terakhir, cuba untuk meredakan harapan besar penyokong.

"Tidak ada apa kejadian yang besar berlaku, kami hanya baru menang satu perlawanan tapi selepas ini akan berdepan satu lagi cabaran untuk menguji kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 8:45 PM