KAPTEN Sepanyol, Sergio Busquets disahkan bebas virus Covid-19 dan dibenarkan menyertai semula pasukan. FOTO AFP
KAPTEN Sepanyol, Sergio Busquets disahkan bebas virus Covid-19 dan dibenarkan menyertai semula pasukan. FOTO AFP
AFP

Madrid: Kapten Sepanyol, Sergio Busquets akan bersama pasukan, hari ini menjelang perlawanan kedua Kumpulan E Euro 2020 dengan Poland, selepas bebas daripada Covid-19.

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol mengesahkan Busquets dibenarkan menyertai semula pasukan, selepas ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) terbaharunya didapati negatif, tetapi dia dijangka tidak diturunkan bertemu Poland, malam esok.

Pemain tengah itu menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas didapati positif pada 6 Jun dan tidak berlatih selama 12 hari.

Busquets dijangka diturunkan pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Slovakia pada Rabu ini.

"Kapten skuad kebangsaan, Sergio Busquets akan menyertai pasukan Jumaat ini dan berlepas ke Seville selepas pulih daripada Covid-19," kata persekutuan itu menerusi kenyataan, hari ini.

"Ujian PCR terakhirnya disahkan negatif virus itu dan selepas semua protokol kesihatan dipenuhi, dia akan bersama skuad kebangsaan dalam masa beberapa jam lagi."

Kepulangan Busquets pastinya melonjakkan Sepanyol yang bermula dengan kecewa apabila seri tanpa jaringan dengan Sweden di Seville pada Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 9:01 PM