LLORENTE antara mangsa terbaru skuad Euro 2020 yang dijangkiti Covid-19. FOTO EPA
LLORENTE antara mangsa terbaru skuad Euro 2020 yang dijangkiti Covid-19. FOTO EPA
AFP

Madrid: Pertahanan Sepanyol, Diego Llorente menjadi pemain kedua dari skuad Euro 2020 negara berkenaan diuji positif Covid-19 selepas ketua pasukan, Sergio Busquets.

Sebelum itu Sweden turut mengumumkan dua pemain mereka, Dejan Kulusevski dan Mattias Svanberg turut dijangkiti virus berkenaan.

"Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) dengan berat hati mengumumkan pertahanan tengah, Diego Llorente diuji positif selepas melalui ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) yang dilakukan pagi ini (semalam) di kem latihan di Las Rozas," jelas badan induk negara berkenaan.

Llorente, yang beraksi dengan Leeds United di Liga Perdana Inggeris (EPL) meninggalkan skuad berkenaan sama seperti dilakukan Busquets sebelum ini.

Sepanyol akan memulakan kempen Euro dalam Kumpulan E dengan menentang Sweden di Seville Selasa depan tatkala kesemua pemain melakukan pengasingan kendiri sejak Busquets diuji positif.

Mereka sepatutnya menentang Lithuania dalam perlawanan pemanas badan terakhir pagi tadi namun terpaksa menurunkan skuad bawah 21 tahun yang mencatat kemenangan 4-0.

Sebelum ini jurulatih Sepanyol terpaksa memanggil enam pemain tambahan untuk berlatih jika terdapat kes baru dan mereka adalah penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, Raul Albiol dari Villarreal, penyerang Leeds, Rodrigo Moreno dan pemain tengah, Pablo Fornals (West Ham), Carlos Soler (Valencia) serta Brais Mendez (Celta Vigo).

RFEF berkata, keenam-enam pemain itu ditempatkan dalam gelembung khas dan akan meneruskan latihan esok di Las Rozas, pinggir Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 1:33 PM