BUSQUETS (kanan) positif Covid-19. FOTO EPA
BUSQUETS (kanan) positif Covid-19. FOTO EPA
AFP

Madrid: Sergio Busquets meninggalkan kem latihan Euro 2020 selepas diuji positif Covid-19 dan ia diumumkan oleh Pesekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF).

Dalam kenyataan, RFEF berkata ketua pasukan Sepanyol berusia 32 tahun itu diuji positif, manakala semua pemain lain pula negatif.

RFEF menambah, mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pemain tengah Barcelona itu akan melakukan pengasingan kendiri sebagai langkah berjaga-jaga.

Skuad berkenaan akan meneruskan program latihan individu menjelang Euro yang akan bermula Sabtu ini.

Sepanyol akan memulakan aksi dengan berdepan Sweden pada 14 Jun dan jurulatih Luis Enrique mempunyai tempoh sehingga Sabtu ini untuk melakukan pertukaran menjelang aksi pembukaan di Seville.

"Langkah-langkah yang sesuai akan dinilai mengikuti situasi ketua pasukan," kata RFEF.

Busquets beraksi lebih 120 kali untuk Sepanyol dan membantu negaranya muncul juara Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

Dia juga memenangi lapan kejuaraan liga dan tiga Liga Juara-Juara bersama Barcelona, serta beberapa lagi trofi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 1:37 PM