MORTEN Boesen pada sidang media menjelaskan situasi Eriksen. FOTO AFP
MORTEN Boesen pada sidang media menjelaskan situasi Eriksen. FOTO AFP
Agensi

Copenhagen: Anders Boesen pernah dikenali sebagai seorang pemain badminton agresif di awal kariernya dan pernah bertemu jaguh hebat seperti sensasi Indonesia, Taufik Hidayat.

Pada Sabtu lalu, dia bertugas sebagai doktor membantu abangnya, Morten Boesen yang juga ketua doktor pasukan bola sepak Denmark menyelamatkan nyawa Christian Eriksen yang tiba-tiba rebah di Stadium Parken ketika bertemu Finland akibat jantungnya terhenti.

Kedua-dua bekas pemain badminton itu berjaya menyelamatkan Eriksen selepas melalui proses CPR selama 13 minit.

Jurulatih beregu India dari Denmark, Mathias Boe ketika menyaksikan peristiwa itu mengenali sosok tubuh Morten yang bertungkus lumus menyelamatkan Eriksen.

Boe pernah beraksi antara enam hingga tujuh tahun bersama Morten di pentas antarabangsa dan kelab.

"Apabila Eriksen rebah, saya tahu ia bukanlah situasi yang baik. Saya pernah bertemunya beberapa kali kerana kami tinggal di kampung yang sama.

"Saya kagum melihat tindakan pantas pasukan perubatan. Kemudian saya berasa bangga sebagai pemain badminton selepas melihat Morten merawat Eriksen menerusi proses CPR dan kemudian menyelamatkan nyawa pemain itu," kata Boe.

Beliau yang meraih pingat perak Sukan Olimpik 2012 berkata: "Morten lebih tua daripada saya. Dia banyak beraksi acara perseorangan dan gemar menjalani latihan yang keras.

"Malah selepas bersara, ketika dia sedang menuntut dalam jurusan pembedahan, dia akan menjalani latihan selama dua jam seawal jam 5 pagi."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 7:26 AM