MIFTAH (dua kanan) ketika bersama pasukan India. FOTO MUHAMMAD MIFTAH
MIFTAH (dua kanan) ketika bersama pasukan India. FOTO MUHAMMAD MIFTAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membawa angin perubahan dalam barisan kejurulatihan apabila membawa masuk jurulatih baharu dari Indonesia, Muhammad Miftah untuk membimbing beregu wanita negara ke tahap tertinggi.

BAM menaruh kepercayaan tinggi terhadap Miftah yang memiliki pengalaman luas selama 10 tahun bersama pasukan India sehingga berjaya membawa negara itu muncul juara Piala Thomas pada 2022.

Malah Miftah juga menjadi tulang belakang kepada pembentukan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang kini bergelar pemain nombor satu dunia.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, Miftah akan diberi tugas selaku penolong jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How.

"Kita mengharapkan Miftah dapat memberikan sesuatu yang positif dan membawa perubahan kepada beregu wanita negara berdasarkan pengalamannya.

"Dia sudah lama bersama skuad badminton India dan menjadi orang penting kepada ketua jurulatih beregu India, Mathias Boe sebelum ini," katanya.

Rexy berkata, Miftah memiliki pengalaman yang luas dan pernah menjadi penolong Tan Kim Her, Flandy Limpele dan Mathias Boe.

Malah Boe memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk menjaga gandingan Satwiksairaj-Chirag.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 4:01 PM