PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen (kanan) cuba melepasi pemain Finland Jere Uronen pada awal perlawanan kedua-dua pasukan. FOTO EPA
PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen (kanan) cuba melepasi pemain Finland Jere Uronen pada awal perlawanan kedua-dua pasukan. FOTO EPA
Agensi

London: Fabrice Muamba antara ratusan pemain bola sepak yang menyatakan sokongan kepada Christian Eriksen selepas pemain tengah Denmark itu rebah di padang ketika perlawanan Euro 2020 menentang Finland sebelum diberikan rawatan CPR.

Menerusi Twitternya, Fabrice Muamba menulis 'Please God' selepas Eriksen rebah di tepi garisan pada perlawanan di Copenhagen itu.

Pemain Inter Milan itu dilihat rebah tanpa sesiapa di tepinya sebelum pemain memanggil bantuan pasukan perubatan.

Eriksen kemudian diberikan CPR sebelum diusung keluar dari padang menggunakan pengusung dan perlawanan itu dihentikan.

Pemain itu kemudian dilaporkan sudah sedar dan dalam keadaan stabil serta menjalani pemeriksaan lanjut di hospital.

Isteri Eriksen dilihat berada di tepi padang dan ditenangkan penjaga gol, Kasper Schmeichel, yang dilihat turut menangis.

Pemain serta peminat bola sepak kemudian bersatu mendoakan keselamatan serta kesihatan bintang Inter Milan itu serta keluarganya.

Muamba turut mengalami insiden sama pada 2012 apabila dia tumbang ketika perlawanan membabitkan Bolton dan Tottenham di White Hart Lane.

Dia yang berusia 23 tahun ketika itu dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) pusat rawatan jantung di London Chest Hospital.

Muamba kemudian pulih sepenuhnya dan dia kini menyatakan sokongan kepada Eriksen di media sosial.

Pemain serta penyokong di Stadium Parken jelas tersentak dan terkejut dengan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 3:27 AM