TOPSHOT - Denmark's midfielder Christian Eriksen (C) is evacuated after collapsing on the pitch during the UEFA EURO 2020 Group B football match between Denmark and Finland at the Parken Stadium in Copenhagen on June 12, 2021. (Photo by Friedemann Vogel / various sources / AFP)
TOPSHOT - Denmark's midfielder Christian Eriksen (C) is evacuated after collapsing on the pitch during the UEFA EURO 2020 Group B football match between Denmark and Finland at the Parken Stadium in Copenhagen on June 12, 2021. (Photo by Friedemann Vogel / various sources / AFP)
AFP

Copenhagen: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen sudah sedar dan kini dalam keadaan stabil di hospital selepas rebah pada perlawanan Euro 2020 menentang Finland, hari ini, kata UEFA.

"Pemain terbabit dikejarkan ke hospital dan dilaporkan stabil," kata UEFA menerusi Twitter.

Ia turut menyatakan mesyuarat krisis diadakan untuk menentukan sama ada perlawanan itu yang dihentikan pada hujung babak pertama selepas Eriksen diusung keluar, patut disambung semula atau sebaliknya.

Sementara itu, menerusi Twitter, Kesatuan Bola Sepak Denmark menyatakan pemain itu mulai sedar di hospital.

"Christian Eriksen sudah sedar dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut di hospital," menurut kenyataan itu selepas pemain terbabit diberikan CPR oleh petugas kesihatan.

Perlawanan Kumpulan B itu dihentikan selepas Eriksen rebah di tepi garisan pada hujung babak pertama menyebabkan rakan sepasukannya dilihat menangis manakala petugas kesihatan berusaha memberi rawatan kepada pemain Inter Milan itu.

Penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel dan kapten, Simon Kjaer dilihat menenangkan teman wanita Eriksen, Sabrina Kvist Jensen di tepi padang.

Selepas kira-kira 15 minit, Eriksen diusung keluar dengan diiringi rakan sepasukan sebelum pemain Finland turut meninggalkan padang tidak lama kemudian.

Penonton yang sebelum itu terdiam kemudian mula menjerit nama 'Christian' dan 'Eriksen' selepas status kesihatannya mula diperoleh.

Malah, pengulas di stadium turut mengumumkan Eriksen dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 1:48 AM