BENZEMA (kiri) yakin Mbappe mampu lebih berjaya jika ke Real. FOTO AFP
BENZEMA (kiri) yakin Mbappe mampu lebih berjaya jika ke Real. FOTO AFP
Agensi

Madrid: "Selamat datang Kylian Mbappe ke Madrid dan semua berkualiti untuk berjaya ada di Los Blancos," kata Karim Benzema.

Penyerang Real Madrid itu hadir memberikan galakan buat rakan senegaranya agar berpindah ke Santiago Bernabeu pertengahan tahun ini tatkala Mbappe hanya memiliki baki kontrak selama setahun bersama Paris Saint Germain (PSG).

Walaupun Mbappe menjaringkan 42 gol dalam musim yang menakjubkan, hanya sedikit saja kemajuan yang dicapai dalam perbincangan penyambungan kontrak bersama PSG.

Pengarah sukan kelab berkenaan, Leonardo enggan membiarkan Mbappe meninggalkan PSG tahun depan tanpa meraih sebarang keuntungan.

Jadi dia mungkin akan melepaskan pemain berusia 22 tahun itu sebelum permulaan musim baru jika perbincangan kontrak baru tidak meraih kata sepakat.

Benzema tidak sangsi dengan kemampuan rakan senegaranya itu untuk memberi impak besar kepada Real dan berharap mampu berganding bersama Mbappe baik di kelab mahupun pasukan kebangsaan.

"Mbappe ke Real? Kita lihat apa akan berlaku tapi dia dialu-alukan untuk datang ke Madrid," kata Benzema.

Walaupun masih mempunyai baki lagi 12 bulan kontraknya di Le Parc des Princes, Mbappe sudah pasti akan diletakkan dengan nilai yang cukup tinggi bermula dari £100 juta (RM586 juta).

Gajinya yang tinggi juga mampu mendatangkan beban buat Real yang sekarang ini mempunyai hutang £1 bilion (RM5.8 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 3:27 PM