KYLIAN Mbappe buruan Real Madrid. FOTO AFP
KYLIAN Mbappe buruan Real Madrid. FOTO AFP
Agensi

MADRID – Gergasi La Liga, Real Madrid kemungkinan 'terceduk' buat kali kedua dalam usaha mendapatkan tandatangan penyerang Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe dalam jendela perpindahan ketika ini.

Segala kemungkinan itu boleh berlaku biarpun hakikatnya kontrak Mbappe di PSG hanya tinggal semusim lagi, di mana pemain kebangsaan Perancis itu bakal menjadi ejen bebas menjelang hujung musim depan.

Lantas, ia menyaksikan Real Madrid berusaha keras untuk membawa Mbappe ke Santiago Bernabeu bagi melengkapkan skuad itu menjelang musim baharu yang bakal bermula tidak lama lagi.

Malah, sasaran untuk mendapatkan Mbappe juga didorong untuk menggantikan tempat Karim Benzema yang berhijrah ke Liga Pro Arab Saudi bulan lalu.

Ketika ini, Real Madrid yang dibimbing Carlo Ancelotti sudah berjaya mengikat beberapa nama besar antaranya Jude Bellingham, Brahim Diaz, Fran Garcia dan lain-lain.

Begitupun wujud kebimbangan kemungkinan perpindahan itu tidak akan berlaku seperti mana yang terjadi pada musim lalu, apabila Mbappe kekal di PSG.

Kelab Perancis itu sebelum ini melanjutkan kontrak pemain itu dengan meletakkan klausa perpindagan bagi menghalang Mbappe berpindah secara percuma.

Mungkin helah sama akan digunakan PSG dengan Real Madrid bakal kecewa buat kali kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 12:17 PM