Penyerang Newcastle United, Callum Wilson (kiri) meledakkan dua gol pada babak kedua. FOTO AFP
Penyerang Newcastle United, Callum Wilson (kiri) meledakkan dua gol pada babak kedua. FOTO AFP
Agensi

London: Newcastle meraih mata berharga untuk menyelamatkan kedudukan mereka dalam Liga Perdana selepas melakar kemenangan mengagumkan 4-2 ke atas pasukan yang mengejar kelayakan beraksi di Liga Juara-Juara, Leicester City.

Joe Willock meletakkan pelawat di depan dengan penyudah tajam hasil daripada kesilapan pertahanan Foxes, Caglar Soyuncu.

Paul Dummett menggandakan kedudukan meletakkan Magpies di depan selepas berjaya memperdaya Wesley Fofana dan Kasper Schmeichel dari sepakan sudut Matt Ritchie sebelum Callum Wilson menjaringkan dua pada babak kedua bagi memastikan mereka meraih tiga mata berharga.

Ketinggalan 0-4, tuan rumah bagaimanapun berjaya meraih dua gol dalam tempoh 10 minit menerusi Marc Albrighton dan Kelechi Iheanacho.

Keputusan itu menyaksikan pasukan bimbingan Steve Bruce melonjak kedudukan ke tempat ke-13, 12 mata di atas Fulham yang mempunyai empat baki perlawanan.

Leicester kini ketiga, lima mata mengatasi pasukan di kedudukan kelima West Ham namun mereka beraksi lebih banyak perlawanan.

"Saya sudah maklumkan beberapa minggu lalu bahawa kami akan okey apabila pemain utama kembali. Barisan pemain saya berkerja keras untuk memastikan kami sampai ke posisi ini," kata Bruce.

"Kami bangkit pada masa yang tepat. Kebiasaannya (39 mata) sudah cukup. Kami kini berada di kedudukan ke-13. Kami masih belum selesai tapi mencatatkan beberapa kemajuan besar dalam beberapa minggu terakhir."

Sementara itu kekalahan itu menyaksikan kelemahan di barisan pertahanan Foxes yang berusaha keras sepanjang musim untuk berada di kelompok empat teratas.

"Jonny Evans nadi utama di bahagian pertahanan dan apabila dia dikeluarkan memberi impak yang besar kepada kami. Bagaimanapun kami seharusnya bertahan dengan lebih baik," kata Rodgers.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 7:40 AM