CASEMIRO (tengah) ketika menentang Southampton Sabtu lalu.
CASEMIRO (tengah) ketika menentang Southampton Sabtu lalu.
Agensi

London: Manchester United akan berentap dengan Leicester City di Stadium King Power awal pagi Jumaat ini dengan harapan meraih keputusan positif di tempat lawan.

United yang masih segar dengan kemenangan 1-0 ke atas Southampton sudah pasti mahu meneruskan kebangkitan mereka manakala Foxes mahu menebus kekecewaan selepas tewas 1-2 di tangan Chelsea.

Erik Ten Hag dijangka memilih formasi 4-3-3 dengan sedikit perubahan. David de Gea masih mendapat kepercayaan mengawal gawang dan mengulangi prestasi cemerlang ketika menentang Southampton.

Raphael Varane dijangka mengetuai barisan belakang dengan Lisandro Martinez mengisi pertahanan kanan dengan Diogo Dalot di posisi kiri.

Pemain baharu mereka Casemiro bakal memperkuatkan bahagian tengah di samping Bruno Fernandes.

United juga memerlukan kreativiti pemain Denmark, Christian Eriksen untuk menghasilkan kemenangan ke atas Leicester manakala Fred dijangka memanaskan bangku simpanan, namun mungkin dibawa masuk pada babak kedua jika diperlukan.

Jadon Sancho dan Marcus Rashford akan mengasak dari bahagian tepi manakala Cristiano Ronaldo dijangka mengetuai bahagian depan.

Sementara itu, pengurus Leicester City, Brendan Rodgers berharap pemain perancangnya, James Maddison akan kembali cergas untuk berdepan United.

The Foxes kini menduduki tangga tercorot dengan hanya satu mata selepas tewas tiga daripada empat perlawanan.

Bercakap ketika sidang akhbar semalam, pengendali dari Ireland Utara itu berkata: "Kesemua pemain kami berlatih dan boleh diturunkan. Begitu juga Maddison. Kami akan tunggu perkembangannya sehingga esok."

Manchester United tewas 2-4 di Stadium King Power pada Oktober lalu ketika dikendalikan Ole Gunnar Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 9:22 AM