PEP Guardiola. FOTO Reuters
PEP Guardiola. FOTO Reuters
AFP

PEP Guardiola berkata beliau tidak akan berbelanja besar pada Januari untuk mengubah nasib Manchester City di Liga Perdana Inggeris biarpun jurang dengan Liverpool semakin melebar.

Juara bertahan yang kini di tangga ketiga dan ketinggalan 11 mata berbanding skuad Juergen Klopp selepas 14 perlawanan, berkunjung ke Burnley awal pagi esok.

Gawang City bolos dalam tujuh perlawanan, yang diakui Guardiola ‘tidak cukup bagus’ dan kelab itu dikaitkan dengan pertahanan Leicester City Caglar Soyuncu.

Namun beliau menolak idea untuk membeli seorang bek tengah apabila jendela perpindahan dibuka bulan depan.

Sebaliknya beliau akan terus memberikan kepecayaan kepada Fernandinho dan menanti kepulangan Aymeric Laporte selepas sekian lama berehat akibat kecederaan lutut.

Ditanya sama ada strategi perpindahan City sudah berubah, Guardiola berkata: “Tidak, saya tidak mahu mana-mana pemain pada Januari.

“Jika kita tidak dapat lakukan pada musim panas, kami tidak boleh lakukan pada Januari.

“Apabila mereka datang dengan peluang luar biasa pada Januari untuk empat, lima atau enam tahun berikutnya mungkin kami akan fikir mengenainya tetapi ia mustahil.

“Biasanya pemain yang kami minat untuk mengukuhkan skuad, tidak akan dijual.”

Guardiola akan sekali lagi mengharapkan sentuhan pemain Brazil, Fernandinho meskipun berdepan cabaran penyerang Burnley Ashley Barnes dan Chris Wood yang lebih menampilkan permainan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 9:37 AM