GAYA Benzema selepas menjaringkan gol Real  di Seville. - FOTO AFP
GAYA Benzema selepas menjaringkan gol Real di Seville. - FOTO AFP
Reuters

REAL Madrid mempamerkan aksi cemerlang ketika menewaskan Sevilla 1-0 di tempat lawan awal pagi tadi sekali gus menyamai 11 mata dengan pendahulu Athletic Bilbao di puncak kedudukan La Liga.

Karim Benzema muncul wira pada pertengahan babak kedua dalam aksi sengit selepas menanduk masuk hantaran cantik Dani Carvajal.

Bekas penyerang Madrid, Javier Hernandez berjaya menolak bola masuk ke gawang Real pada minit akhir perlawanan namun dibatalkan selepas didapati offsaid terlebih dahulu dan Real kekal bertahan untuk kemenangan pertama mereka di Stadium Sanchez Pizjuan dalam lima musim.

Kemenangan itu membolehkan mereka menduduki tangga kedua di belakang Bilbao dengan 11 mata daripada lima perlawanan manakala Bilbao di puncak selepas menewaskan Alaves 2-0.

Sevilla di tangga kelima dengan 10 mata manakala juara, Barcelona kelapan dengan tujuh mata selepas dimalukan 0-2 kepada ‘pendatang baharu’ La Liga, Granada.

"Real Madrid tidak pernah hilang nafsu untuk meraih kemenangan,” kata kapten, Sergio Ramos kepada wartawan.

"Kami tahu betapa sukar perlawanan ini. Kami tak pernah di sini sejak beberapa tahun lalu tetapi kami hadir dengan mental kuat dan tekad mengurangkan kesilapan. Selain daripada beberapa set piece, kami lebih menguasai perlawanan.”

Real tewas empat aksi terakhir di Sanchez Pizjuan dan dibelasah 0-3 musim lalu yang menjadi kemuncak kepada penyingkiran bekas jurulatih mereka, Julen Lopetegui yang kini menjadi jurulatih Sevilla.

Jurulatih sekarang, Zinedine Zidane berkunjung ke Sevilla dengan kemampuannya dipersoalkan selepas tewas 0-3 kepada Paris St Germain dalam aksi Liga Juara Juara minggu lalu.

Tetapi Real mempamerkan aksi berbeza kali ini dengan Zidane menganggap prestasi mereka awal pagi tadi adalah yang terbaik sejak dia kembali mengendalikan kelab itu sejak Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 7:05 AM