PENJAGA  gol Kedah, Shahril Sa'ari  menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi penyerang lawan. FOTO Bernama
PENJAGA gol Kedah, Shahril Sa'ari menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi penyerang lawan. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC ( KDA FC) bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 di Stadium Darul Aman malam ini.

Dua jaringan penyerang, Kipre Tchetche dan satu menerusi Fayadh Zulkifli melegakan hampir 1,200 penonton selepas pasukan tuan rumah diasak hebat pelawat.

Selepas babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan, KL City berjaya memecah kebuntuan hasil sepakan leret Paulo Josue ke penjuru kiri gawang Kedah yang menewaskan penjaga gol, Shahril Saari pada minit ke-49 .

Kedah kembali bangkit dengan serangan bertali arus dan akhirnya gol penyamaan muncul pada minit ke-70 menerusi rembatan kencang Fayadh Zulkifli selepas menerima hantaran Tchetche dari bahagian kiri gawang KL City.

Bagaimanapun, KL City sekali lagi mengejutkan Kedah dengan gol kedua apabila sepakan sudut pada minit ke-78 berjaya dimanfaatkan Giancarlo Galllifouco yang menanduk bola ke belakang menewaskan Shahril Sa'ari.

Usaha gigih Kedah mencari gol penyamaan membuahkan hasil apabila Rozaimi Abdul Rahman dijatuhkan di dalam kotak penalti pada lewat permainan dan Tchetche tenang menyempurnakannya.

Ketika kedudukan tampak berakhir seri, Tchetche menggamatkan penyokong tuan rumah apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk keputusan muktamad Kedah menang 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 12:45 AM