KANE terpaksa dikeluarkan beberapa minit sebelum tamat perlawanan. FOTO AFP
KANE terpaksa dikeluarkan beberapa minit sebelum tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Penyerang England, Harry Kane mengalami kecederaan pergelangan kaki yang membimbangkan menjelang final Piala Liga minggu depan selepas meledakkan dua gol bagi membolehkan Tottenham Hotspur mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Everton dalam aksi Liga Perdana, semalam.

Gylfi Sigurdsson juga menjaring dua gol buat Everton dengan keputusan yang tidak membantu kedua-dua pasukan memburu tiket kelayakan Eropah musim depan.

Kane diharapkan dapat memimpin barisan serangan England tahun ini selepas Kejuaraan Eropah ditunda, terpaksa dikeluarkan sebelum tamat perlawanan selepas pergelangan kakinya mengalami kecederaan di dalam kotak penalti Everton.

"Masih terlalu awal untuk mengatakan sesuatu," kata pengurus Tottenham, Jose Mourinho mengenai kecederaan Kane.

"Bagi dirinya apabila terpaksa meninggalkan padang beberapa minit sebelum tamat perlawanan ia amat jelas kerana dia merasakan sesuatu.

"Biarkan saya optimis dan percaya dia mempunyai masa untuk pulih. Mari kita lihat.

"Amat jelas dia adalah pemain yang sangat penting bagi kami. Saya tidak mahu mengatakan banyak atau membuat spekulasi."

Kane meledakkan gol ke-20 dalam liga musim ini meletakkan Spurs di hadapan minit ke-27 di Goodison Park sebelum Sigurdsson menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti.

Spurs kini kekal di tangga ketujuh, lima mata beza dari empat pasukan teratas liga dan sudah beraksi lebih satu perlawanan dari West Ham.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 7:55 AM