BERGSON (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERGSON (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 4-1 apabila membelasah Terengganu FC 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

JDT selaku juara bertahan akan berdepan sama ada Melaka United (MU) atau Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi final piala berprestij edisi ke-100 di Stadium Bukit Jalil, Selasa ini selepas kedua-dua pasukan itu bermula lewat akibat gangguan bekalan elektrik di Stadium Hang Jebat.

Skuad Harimau Selatan yang turun tanpa perancang utama, Leandro Velazquez selepas pemain pemain dari Argentina itu di gantung satu perlawanan akibat mengumpul dua kad kuning memaksa pengendali pasukan, Benjamin Mora menyenaraikan Safiq Rahim untuk beraksi di posisi tengah.

Ternyata tuan rumah tidak menunggu lama apabila membuka tirai jaringan selepas bola tandukan S Kunanlan pada minit keenam membolehkan Bergson Da Silva biarpun di cabar pemain TFC bertindak pantas melakukan rembatan deras dari jarak 35 meter tepat ke penjuru kiri gol menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Anak didik Mora membuat skuad bimbingan Nafuzi Zain terkedu pada minit ke-10 selepas bola gerakan menarik Ariff Aiman Hanapi di posisi sayap kiri mengumpan bola kepada Bergson yang kemudian melambung bola buat Gonzalo Cabrera merembat kencang menewaskan Suhaimi untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0.

Tuan rumah terus mengganas pada minit ke-14 selepas tindakan Cabrera merampas bola daripada Habib Haroon Saeed di luar kotak penalti bertindak pantas mengumpan bola untuk Bergson yang merembat bola kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Suhaimi.

Namun tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Safiq dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Muhammad Nazri Nasaruddin kerana mengasari Faisal Halim selang semint selepas Bergson menjaringkan gol ketiga buat JDT.

Walaupun beraksi menentang 10 pemain JDT, skuad Penyu terlepas peluang terhidang untuk merapatkan jurang gol selepas Jordan Mintah gagal menyudahkan bola selepas menyepak bolamelepasi palang gol berpunca daripada bola umpanan Azarul Nazarith Azhar pada minit ke-36 tatkala hanya berdepan dengan penjaga gol, Fariizal Marlias.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu bermula garang apabila mengatur serangan dalam usaha merapatkan jurang gol namun kekentalan benteng yang diterajui Mauriico Dos Santos dan Shane Lowry tampak sukar dirobohkan.

Serang balas skuad Harimau Selatan pada minit ke-56 hampir menghasilkan gol keempat namun bola hantaran Ariff Aiman gagal disudahkan Bergson yang hanya sipi sebelah kiri gawang.

Harapan skuad Penyu yang mempertaruhkan Mintah untuk merobek gawang skuad Harimau Selatan sekadar omongan kosong tatkala pemain import dari Ghana itu bagaikan menjadi penumpang dalam kesebelasan utama dan kedudukan 3-0 yang memihak anak didik Mora kekal sehingga tamat perlawanan untuk mara ke pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 11:01 PM