PEMAIN Kedah Darul Aman FC, Rabih Ataya (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Bernama
PEMAIN Kedah Darul Aman FC, Rabih Ataya (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menerima kekalahan 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman semalam dengan menganggap skuadnya tidak bernasib baik untuk mendapat kemenangan.

"Pemain menunjukkan kerja keras mereka, cuma nasib tidak menyebelahi kami dan kami menerima kekalahan ini serta mahu terus melihat kehadapan.

"Kami bermain dengan lebih baik dan tidak sepatutnya tewas, namun kami tidak mendapat keputusan yang baik walaupun dapat mengawal permainan.

"Pihak lawan pula mendapat dua peluang dan mereka memanfaatkan peluang itu sedangkan banyak peluang kami gagal mendapatkan gol," katanya.

Aidil turut berkata skuadnya juga turut terkesan dengan layangan dua kad merah yang diterima lantaran reaksi pemain ekoran keputusan yang dibuat pengadil keatas pemainnya.

"Kalau pemain merasakan keputusan yang kurang tepat, mungkin juga mereka akan hilang kesabaran dalam perlawanan.

"Saya tidak mahu komen mengenai keputusan yang dibuat pengadil namun sedih hampir setiap perlawanan kita boleh lihat perkara seumpama ini berlaku.

"Saya 100 peratus yakin melihat bola terkena tangan pemain lawan namun saya tidak akan mendahului keputusan yang dibuat pengadil.

"Sangat jelas dan kecewa kami tidak mendapat penalti kerana situasi yang sama berlaku di mana pihak lawan sebelum itu mendapat penalti," katanya.

Aidil Sharin bagaimanapun menyerahkan kepada pihak pengadil untuk melihat semula punca keadaan ini dan berharap ia adil kepada kedua-dua pasukan yang mahu memastikan kemenangan.

Aidil juga mengakui tidak mudah untuk pemainnya dalam tempoh 48 jam menghadapi perlawanan ini selepas menghadapi cabaran sengit bertemu Selangor FC di Stadium MBPJ.

"Saya tidak meletakkan Fairuz Zakaria dalam kesebelasan utama kerana kita tidak boleh memberi tugas berkenaan kepada pemain yang mengalami kekejangan otot selepas beraksi dengan Selangor iaitu selepas 48 jam perlawanan itu dan menghadapi perlawanan berintensiti tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 1:14 PM