PEMAIN KDA FC, Rizal Ghazali (kanan) dicabar pemain Kelantan United, Mohd Amirul Shafik Che Soh. FOTO Luqman Hakim Zubir
PEMAIN KDA FC, Rizal Ghazali (kanan) dicabar pemain Kelantan United, Mohd Amirul Shafik Che Soh. FOTO Luqman Hakim Zubir
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC Aidil Sharin Sahak menganggap kemenangan ke atas Kelantan United FC (KUFC) 3-0 semalam sebagai satu permulaan yang baik untuk skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi saingan Kumpulan C, Piala Malaysia musim ini.

Aidil berkata, percaturan membabitkan perubahan taktikal dengan gabungan kombinasi antara pemain muda dan senior pada perlawanan berkenaan adalah strategi yang dirancang khusus bagi memastikan Kedah bersedia menghadapi dua perlawanan dalam tempoh empat hari.

"Saya bersyukur kerana pasukan mendapat tiga mata penting pada perlawanan pertama ini dan ini satu permulaan yang baik di mana pemain menunjukkan kerja keras mereka mencari gol awal dan mengawal permainan dengan baik untuk memastikan kemenangan.

"Tidak mudah untuk kami merancang apabila perlu beraksi dua perlawanan dalam tempoh empat hari dan saya tidak mahu menekan tempo terlalu tinggi kepada pemain kerana pada masa sama kami juga perlu menyusun perancangan untuk bertemu Melaka United.

"Sebab itu kami perlu mengimbangi keadaan antara dua perlawanan ini dan perlu bertindak dengan berhati-hati dalam membuat perancangan," katanya pada sidang media.

Aidil bagaimanapun yakin pemainnya dapat meningkatkan lagi tahap permainan selepas meraih kemenangan itu.

"Saya berharap pemain akan mendapat peningkatan terbaik mereka dalam perlawanan kedua Khamis ini menentang Melaka United," katanya.

Aidil juga mengakui perlawanan menentang Melaka United selepas ini bukan mudah buat skuadnya kerana Melaka juga mendapat motivasi hasil dari kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC.

"Namun kami ada sedikit kelebihan kerana akan bermain sekali lagi di laman sendiri berbanding Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 12:44 PM