DUA pemain Kedah, Azammuddin Akil (kiri) dan Dechi Marcel mengekang pergerakan Sony Norde.
DUA pemain Kedah, Azammuddin Akil (kiri) dan Dechi Marcel mengekang pergerakan Sony Norde.
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA FC), Aidil Sharin Sahak meluahkan rasa kecewa apabila skuad Sang Kenari menerima kekalahan berganda selepas dikejutkan Melaka United dengan keputusan 2-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam kelmarin.

Sebelum ini, naib juara Liga Super tahun lalu itu tewas 0-4 kepada Sabah dan 1-4 di tangan Selangor FC.

Bagi pengendali yang memasuki tahun keempat bersama Kedah itu, walaupun dua kali Sang Kenari mendahului pihak lawan pada babak pertama, skuadnya dilihat leka sehingga membuka ruang pihak lawan melakukan asakan sehingga dibolosi pada minit akhir.

"Melepaskan kemenangan pada perlawanan ini adalah sesuatu yang saya tidak boleh terima dan saya fikir kami berdepan kesilapan individu dan belum belajar daripada kesilapan lalu dengan membiarkan pihak lawan mendapatkan gol.

"Sepatutnya kami perlu menyekat lawan sebaik mendahului 2-1 namun kami pula hilang fokus sejak Melaka menyamai kedudukan.

"Kami patut salahkan diri sendiri di atas kesilapan ini dan inilah yang saya selalu katakan bola sepak adalah 90 minit perlawanan disebabkan kami tidak fokus dan ambil mudah pada malam ini, kami dihukum," katanya.

Dalam aksi itu, gol tuan rumah dijaringkan Ngah Wanja dan Syafiq Ahmad manakala pelawat membalas menerusi Emanuel Oti dan dua gol Ifedayo Olusegun.

Aidil berkata, beliau turut kesal dengan kekalahan itu kerana penyokong telah hadir memberi semangat dalam usaha mendapatkan tiga mata kemenangan.

"Saya mohon maaf kepada penyokong Kedah yang datang memberi sokongan setia mereka pada perlawanan ini.

"Keadaan perlu berubah dan sesuatu perlu dilakukan dengan segera oleh saya dan pengurusan pasukan agar masalah ini dapat diatasi dan tidak berulang lagi pada perlawanan akan datang.

Sementara itu, jurulatih Melaka United, Asri Niggal memuji semangat juang anak buahnya yang tidak berputus asa dan berjaya bangkit selepas ketinggalan dua kali bagi membuktikan kemampuan membenam KDA FC pada perlawanan sengit di laman Hijau Kuning.

"Saya perlu beri pujian kepada semua pemain kerana bermain secara 'all out' dalam keadaan baru lepas cuti hari raya, hujan dan Kedah mendahului, tidak mudah untuk bangkit semula.

"Tetapi pemain buktikan mereka inginkan kemenangan sehingga wisel penamat dan ini menunjukkan tanpa kenal putus asa, kami berjaya capai kejayaan pada perlawanan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 7:00 AM