PEMAIN JDT, Corbin-Ong diasak pemain KDA FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali. FOTO Bernama
PEMAIN JDT, Corbin-Ong diasak pemain KDA FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak memuji komitmen pemainnya meskipun gagal menjaringkan gol ketika seri 0-0 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Pengendali dari Singapura itu mengakui skuadnya berdepan situasi sukar apabila hanya menampilkan dua pemain import dan disertai lima pemain muda bagi mengekang cabaran skuad Harimau Selatan.

"Kami tidak memiliki pemain lengkap pada perlawanan ini dengan hanya dua pemain import sahaja beraksi dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana kita tahu JDT adalah pasukan yang memberi cabaran hebat.

"Kita boleh lihat barisan pertahanan mereka yang dibarisi pemain berkualiti dan agak sukar untuk kami menembusi kubu mereka, namun kami juga memberi tentangan yang hebat kepada mereka dengan tanpa dibolosi," katanya.

Aidil berkata, beliau sudah mengingatkan semua pemain untuk meningkatkan tahap disiplin masing-masing dan memberi komitmen yang tinggi sebelum aksi perlawanan penting di laman sendiri itu.

"Walaupun kami tidak memperolehi gol, namun pemain pertahanan berjaya menunjukkan permainan berkualiti dan kami hanya perlu melengkapkan satu lagi perlawanan di tempat lawan selepas ini," katanya.

Aidil bagaimanapun berharap kelebihan yang dimiliki JDT yang akan beraksi di laman mereka nanti tidak akan mengendurkan semangat juang pemainnya dalam usaha untuk layak ke peringkat separuh akhir.

"Kami tetap menerima hakikat bahawa JDT adalah sebuah pasukan yang mahukan kejuaraan dan ia tidak mudah buat kami apabila berdepan mereka sekali lagi.

"Dalam bolasepak kita harus mempercayai kemampuan setiap pemain dan mereka perlu terus bersemangat untuk memburu kemenangan walaupun ia dilihat sukar kerana itu adalah lumrah bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 12:53 PM