UNDIAN Liga Juara-Juara di Nyon hari ini. FOTO AFP
UNDIAN Liga Juara-Juara di Nyon hari ini. FOTO AFP
AFP

Paris: Finalis musim lalu, Paris Saint-Germain (PSG) akan bertemu Barcelona pada pusingan 16 Liga Juara-Juara manakala Liverpool bertemu RB Leipzig menerusi undian yang dilangsungkan hari ini.

Bayern Munich yang menewaskan PSG pada final musim lalu untuk memenangi trofi Eropah kali keenam, akan bertemu Lazio di pusingan kalah mati.

Manchester City di bawah bimbingan Pep Guardiola dan masih memburu kejuaraan pertama Liga Juara-Juara, perlu mengatasi Borussia Moenchengladbach.

Chelsea yang memenangi trofi itu pada 2012, berdepan tugas sukar bertemu Atletico Madrid.

Cristiano Ronaldo dan Juventus akan bertemu wakil Portugal, Porto manakala Real Madrid bakal menentang Atalanta yang melakukan kejutan mara ke suku akhir musim lalu.

PSG berpeluang membalas dendam selepas dikecewakan Barcelona pada 2017.

Selepas menewaskan kelab Catalan itu 4-0 di ibu kota Perancis, PSG tewas 1-6 di Camp Nou yang ketika itu diperkuatkan oleh Neymar.

Sensasi Brazil itu kemudian menyertai PSG dengan merekodkan perpindahan dunia seminggu selepas itu.

Dengan perlawanan bakal berlangsung Februari depan, PSG berharap Neymar dapat pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang menyaksikannya diusung keluar ketika tewas 0-1 kepada Lyon semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 9:14 PM