LEWANDOWSKI terpaksa berehat hampir sebulan akibat kecederaan lutut. FOTO AFP
LEWANDOWSKI terpaksa berehat hampir sebulan akibat kecederaan lutut. FOTO AFP
AFP

Berlin: Robert Lewandowski akan terlepas kedua-dua aksi suku akhir apabila penyandang juara, Bayern Munich bakal berdepan Paris St Germain (PSG) di Liga Juara-Juara selepas dia mengalami kecederaan lutut yang memaksa perlu berehat hampir sebulan.

"Penyerang kami tidak akan dapat beraksi lebih kurang empat minggu," kata Bayern dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Lewandowski mengalami kecederaan ligamen di bahagian lutut kanan selepas menjaringkan dua gol ketika membantu Poland membenam Andorra 3-0 di kelayakan Piala Dunia.

Pemain berusia 32 tahun juga akan terlepas aksi dua pasukan teratas Bundesliga menentang RB Leipzig Ahad depan, tatkala Bayern mendahului empat mata.

Lewandowski juga terlepas aksi antara Poland menentang England di Wembley awal pagi esok.

Bayern akan menanti kunjungan PSG pada separuh akhir pertama pada 7 April, sebelum berkunjung ke Parc des Princes enam hari kemudian.

Tanpa Lewandowski, penyerang simpanan Bayern, Eric Maxim Choupo Moting atau pemain sayap Jerman, Serge Gnabry akan menggalas tugas di barisan depan.

Pemain antarabangsa Poland itu sudah meledak 35 gol dalam 25 perlawanan liga musim ini untuk menghampiri rekod Gerd Muller menjaringkan 40 gol dalam satu musim di Bundesliga.

Walaupun Lewandowski tidak beraksi, RB Leipzig mengakui mereka tidak akan memandang mudah keupayaan Bayern.

"Bayern tetap mempunyai pasukan yang kuat di atas padang walaupun tanpa Lewandowski.

"Secara asasnya anda tidak akan meminta supaya seseorang pemain mengalami kecederaan tapi dalam perkara ini kami sebenarnya lebih menumpukan kepada prestasi sendiri," kata Pengarah Sukan Leipzig, Markus Kroeshce.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 10:18 AM