Pengendali JDT, Benjamin Mora. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Pengendali JDT, Benjamin Mora. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora menegaskan kemenangan ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 3-0 pada aksi Liga Super, di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, bukan tugas mudah.

Malah pengendali kelahiran Mexico itu menepis tanggapan betapa kemenangan yang digapai adalah hasil komitmen setiap pemain yang beraksi tatkala sedar betapa PJ City FC liat untuk ditewaskan dalam beberapa musim kebelakangan ini.

"Siapa kata senang untuk jinakkan PJ City FC. Mereka tidak mudah ditewaskan dan bukan lawan yang mudah kerana mereka tidak melepaskan gol pada aksi pertama sepanjang musim ini.

"Tugas sukar juga untuk memecahkan lima atau enam pertahanan mereka yang beraksi secara kompak. Tapi kami guna taktikal berbeza pada perlawanan itu dan ia membawa kepada jaringan awal pada minit pertama.

"Selepas gol awal itu, kami sedar pasukan lawan sudah mula tertekan dan kami ambil kesempatan apabila bertali arus melancarkan serangan dan gerakan itu kerap bermula di posisi tengah dan kemudian mengembang ke sayap kiri dan kanan," katanya.

Bergson (kanan) menjaringkan dua gol buat JDT ketika berdepan PJ City.
Bergson (kanan) menjaringkan dua gol buat JDT ketika berdepan PJ City.

Mengulas lanjut, Mora mendedahkan taktikal permainan diubah bagi memastikan barisan pemain tidak terperangkap dengan jerat skuad bimbingan P Maniam.

Sementara itu, Maniam berkata hilang konsentrasi di babak pertama menjadi punca utama skuadnya tewas.

"Fokus pemain hilang selepas mudah membiarkan pemain JDT menjaringkan tiga gol pada babak pertama. Malah di awal permainan pemain saya bagaikan hilang konsentrasi dan terlalu membiarkan pemain lawan menguasai permainan.

"Apapun, pada babak kedua kami mula menemui rentak permainan dan jarang melakukan kesilapan terutama umpanan bola kepada rakan sepasukan dan mereka juga cuba beri tekanan terhadap benteng JDT.

"Kami juga mencipta dua peluang mencipta jaringan di babak kedua tapi nasib kurang baik apabila tidak menemui sentuhan penyudah."

Pada aksi semalam, skuad Harimau Selatan mencatat kemenangan menerusi jaringan Gonzalo Cabrera minit pertama dan dua gol sumbangan Bergson da Silva pada minit ke-20 dan 30 permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 1:54 PM