BARISAN pemain JDT sedang menjalani latihan. FOTO FB Johor Southern Tigers
BARISAN pemain JDT sedang menjalani latihan. FOTO FB Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) harus bertindak awal untuk memburu gol tatkala melayani kunjungan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Menilai rekod pertembungan pada musim lalu yang aksi sekadar satu pusingan akibat pandemik Covid-19, skuad Harimau Selatan sekadar mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi 25 September musim lalu.

Justeru, pengendali JDT, Benjamin Mora harus berwaspada dengan taktikal dipratikkan oleh barisan pemain bimbingan P Maniam yang kesemuanya adalah pemain tempatan dan mampu melakar kejutan jika pemain JDT bersikap sambil lewa.

Selepas mengharungi dua perlawanan, tindakan Mora menggandingkan Adam Nor Azlin dan Mauricio Nascimento mengemudi jentera pertahanan tampak beri impak positif di posisi berkenaan dan kedua-dua pemain itu membentuk kombinasi mantap ketika aksi menentang Melaka United FC (MUFC) pada 2 April lalu dan Sabah FC, 6 April lalu.

Malah kelibat S Kunanlan yang beraksi di posisi bek kanan bagi menggantikan Matthew Davies yang mengalami kecederaan juga tidak mengecewakan dan kemungkinan pemain itu akan kekal dalam kesebelasan utama untuk memintas corak permainan pantas pemain sayap kiri PJ City FC.

JDT yang kini menghuni tangga teratas liga selepas mengharungi tujuh perlawanan mengumpul 17 mata hasil lima kemenangan dan dua keputusan seri sekali gus juara liga tujuh musim berturut-turut itu muncul satu-satunya pasukan yang belum tumpas.

Andai rekod tanpa kalah ingin dikekalkan oleh JDT pada pertembungan menentang PJ City FC, anak didik Mora harus tampil dengan permainan yang lebih ampuh dan cuba sedaya upaya mengelak pemain lawan menguasai permainan.

Oleh itu, peranan posisi tengah yang kemungkinan akan diterajui Natxo Insa, Afiq Fazail dan Leandro Velazquez perlu lebih kreatif menjana gerakan berbahaya bagi membantu ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva mencipta jaringan.

Apa yang penting dalam perlawanan itu nanti, pemain JDT perlu fokus melebihi 100 peratus untuk memastikan tiga mata tidak dirampas PJ City FC yang menjadi igauan buruk buat skuad Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 2:52 PM