JDT giat menjalani latihan bagi persiapan menentang TFC. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
JDT giat menjalani latihan bagi persiapan menentang TFC. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil pendekatan berwaspada akan kebangkitan Terengganu FC pada aksi penentu ke pentas final apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Walaupun JDT dilihat memiliki kelebihan gol di tempat lawan selepas seri 1-1 dengan skuad kendalian Nafuzi Zain pada aksi separuh akhir pertama, pengendali JDT, Benjamin Mora menganggap perlawanan aksi separuh akhir kedua masih terbuka bukan sahaja kepada pasukannya malah skuad TFC yang mampu mencipta kejutan.

Bagi Mora kesilapan pada aksi pertama terutama di 15 minit pertama yang membolehkan anak didik Nafuzi menjaringkan gol bagaikan beri pengajaran berguna buat skuad Harimau Selatan supaya tidak terlalu leka pada permulaan permainan.

"Apa yang berlaku pada aksi separuh akhir pertama, kami sudah mengesan dan ia tidak akan berulang apabila bertemu sekali dengan Terengganu malah pemain juga tampak mahu beri persembahan terbaik untuk tebus semula kesilapan lalu.

"Tidak dinafikan Terengganu adalah pasukan yang baik dan setiap kami menentang mereka ia beri kesukaran kepada kami namun kami akan berusaha untuk merealisasikan sasaran memburu kemenangan dan pastinya ia pertembungan yang menarik," katanya.

Pada aksi berintensiti tinggi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lalu, TFC terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi pemain import, Jordan Mintah pada minit kelapan tapi Bergson Da Silva melegakan kem skuad Harimau Selatan apabila bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-50 untuk menjadikan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Mora juga tampak enggan berselindung tatkala optimis JDT mampu melangkah ke final piala berprestij apabila skuad bimbingannya berada di landasan terbaik biarpun tanpa kelibat Leandro Velazquez yang diketepikan akibat penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning pada aksi menentang TFC, malam esok.

"Jika JDT dapat menjaringkan satu gol lagi dalam aksi timbal balik, TFC memerlukan dua gol tetapi saya optimis barisan pertahanan kami tidak mudah dibolosi.

"Bagaimanapun, baki 90 minit perlawanan tetap kritikal dan pemain JDT yang bakal diturunkan harus memberi persembahan terbaik di depan penyokong sendiri yang akan beri suntikan semangat kepada mereka mempamerkan corak permainan konsisten," kata Mora.

T

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 1:06 PM