MORA mengkritik corak permainan TFC. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MORA mengkritik corak permainan TFC. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor

[email protected].

Johor Bahru: Walaupun pasrah dengan kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) , namun pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora tidak berpuas hati dengan corak permainan anak didik Nafuzi Zain yang tidak memiliki semangat kesukanan selepas kerap melambatkan permainan.

Apa yang diperkatakan pengendali kelahiran Mexico itu bukan alasan semata-matanya, sebaliknya tindakan pemain skuad Penyu yang kerap menjatuhkan badan dengan alasan mengalami kecederaan menjejaskan aksi yang berintensiti tinggi dan ia berlaku selepas TFC mendahului JDT 1-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

"Pasukan lawan akan guna apa sahaja cara untuk menghilang momentum permainan JDT apabila sering melambatkan permainan dengan membazirkan masa. Pemain lawan mula rebah dengan alasan mengalami kecederaan, Bagi saya itu semua tiada semangat kesukanan.

"Mereka tahu sukar tewaskan JDT dan sebaik mendahului kami dan kesempatan itu diguna sepenuhnya untuk menganggu momentum permainan yang kami rancang dan ia merupakan strategi mereka.

"Cara itu bagi saya menjejaskan keindahan permainan bola sepak yang sepatutnya dimainkan dengan secara lebih taktikal dan bukan melambat-lambatkan permainan.

"Ke mana hilangnya semangat kesukanan. Bukan sahaja beraksi dengan kesemua pemain berkampung di kawasan sendiri dan saya akui corak yang digunakan TFC menyukarkan kami mencipta jaringan tapi rasionalnya biarlah bermain bola sepak dengan permainan terbuka dan bukan jatuhkan badan dan lewatkan permainan," katanya dengan nada kecewa.

Mengulas mengenai tindakan apabila terpaksa mengeluarkan S Kunanlan dan Mauricio Nascimento selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan pada babak pertama, Mora mengakui perancangan taktikal terjejas selepas kehilangan dua tonggak utama.

Selain itu, Mora juga tidak menafikan barisan pemainnya tampak kurang efisien apabila melakukan `set-piece' selepas gagal menoktahkan dengan jaringan tatkala meraih begitu banyak sepakan sudut dalam perlawanan itu.

"Memang ada kelemahan di situ kerana kami tidak begitu kreatif untuk melakukan penyudah apabila meraih sepakan penalti kerana masalah utama adalah kami tidak memliki pemain yang tinggi. Itu yang kami kena perbaiki dan saya harus berkerja keras bagi memastikan ia tidak berulang.

"Sepanjang perlawanan, kami mengawal hampir 75 peratus dan melakukan purata 700 umpanan. Jadi apa yang berlaku pasukan lawan akan tunggu sedikit kesilapan ketika pemain melakukan umpanan untuk menjaringkan. Itu yang terjadi membolehkan TFC jaringkan gol.

"Apapun, kami tewas dan bukan bererti moral pemain saya jatuh, sebaliknya ia adalah motivasi terbaik untuk bangkit dan menoktahkan kekalahan itu dengan permainan yang lebih ampuh kerana kami masih berada di tangga teratas liga," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 4:53 PM