RAMOS disahkan mengalami kecederaan betis dan tidak akan diturunkan menentang Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
RAMOS disahkan mengalami kecederaan betis dan tidak akan diturunkan menentang Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Spain: Kapten Real Madrid, Sergio Ramos akan terlepas peluang beraksi untuk kedua-dua pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool selepas mengalami kecederaan otot betis.

Pemain pertahanan berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan ketika beraksi di peringkat antarabangsa.

Real akan berdepan Reds Selasa ini dan pada 14 April, selain turut terlepas aksi El Clasico bertemu Barcelona dalam aksi La Liga.

"Sekiranya ada sesuatu yang menyakitkan saya ia adalah tidak dapat membantu pasukan dalam perlawanan yang sangat penting ini," katanya.

Ramos berkata, dia menyedari masalah itu ketika di padang latihan selepas Sepanyol menang 3-1 ke atas Kosovo dan ujian yang dilakukan mengesahkan kecederaan itu.

Real akan melayan kunjungan Liverpool dalam aksi suku akhir pertama.

Jika Ramos beraksi, pertemuan itu akan menemukannya dengan Mohamed Salah, yang mengalami kecederaan bahu kerana bertembung dengannya ketika final di Kiev pada 2018.

Real memenangi perlawanan itu dengan keputusan 3-1 namun awal minggu ini Salah berkata dia tidak menyimpan dendam.

"Katakan saya mempunyai keinginan khusus untuk memenangi perlawanan dan layak ke separuh akhir, apa saja yang berlaku ia tidak akan menukar keputusan di Kiev. Ia sudah tamat ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 12:03 PM