PEMAIN Sevilla meraikan kemenangan menentang Real. -Foto EPA
PEMAIN Sevilla meraikan kemenangan menentang Real. -Foto EPA
Reuters

KAPTEN Real Madrid, Sergio Ramos menjaringkan gol sendiri dan terlepas penalti ketika pasukannya tewas 3-2 kepada Sevilla, awal pagi tadi sekali gus kekalahan keenam dalam La Liga musim ini.

Penyerang Perancis, Wissam Ben Yedder meletakkan Sevilla di depan pada minit ke-26 selepas berjaya memintas Ramos dari belakang dan Miguel Layun menjadikan kedudukan 2-0 hasil rembatan dalam kotak penalti.

Ramos yang juga bekas pertahanan Sevilla gagal memanfatkan penalti pada minit ke-58 selepas tendangannya terkena palang dan kemudiannya menjaringkan gol sendiri pada minit ke-84 selepas cuba menahan rembatan Gabriel Mercado dari luar kotak penalti.

Penyerang Real, Borja Mayoral menanduk masuk gol pertama pada minit ke-87 dan diikuti penalti jaringan Ramos pada minit kecederaan merapatkan kedudukan.

Jurulatih Real, Zinedine Zidane melakukan lapan pertukaran selepas pasukannya mengikat Barcelona 2-2 dalam aksi sengit pada Ahad lalu dengan hanya mengekalkan Ramos, penyerang Karim Benzema dan pemain tengah, Casemiro.

Toni Kroos, Luka Modric, Marcelo dan penjaring terbanyak Cristiano Ronaldo semuanya kekal di ibu kota Sepanyol bagi memulihkan diri menjelang final Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Kiev pada 26 Mei ini.

"Saya memilih pasukan yang boleh menang selesa, saya tak kesal dengan senarai pemain yang dipilih,” katanya.

"Adalah memalukan kepada pemain yang kurang beraksi dan saya tak boleh menyalahkan mereka, mereka melakukan apa sahaja,” katanya.

Real kini di tangga ketiga liga dengan 72 mata dan terlepas peluang untuk mengikat Atletico di tangga kedua dengan 75 mata.

Juara, Barcelona terus meninggalkan Atletico dengan 15 mata selepas membelasah Villarreal 5-1, awal pagi tadi.

Sementara itu, Sevilla yang dibimbing Joaquin Caparros selepas jurulatih Itali, Vincenzo Montella dipecat meraih kemenangan kedua daripada dua perlawanan.

Mereka melonjak dua mata di atas Getafe di tangga ketujuh iaitu slot terakhir kelayakan Liga Europa dengan baki dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 11:09 AM