RAMOS (kanan) patah tulang hidung selepas bertembung dengan Hernandez. -Foto EPA
RAMOS (kanan) patah tulang hidung selepas bertembung dengan Hernandez. -Foto EPA
AFP

MADRID: Kapten Real Madrid, Sergio Ramos disahkan patah hidung pada pertembungan musuh tetangga berdepan Atletico Madrid, semalam.

Ramos digantikan pada rehat separuh masa pertama dalam perlawanan yang berakhir tanpa jaringan di Wanda Metropolitano, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona.

“Selepas ujian dijalankan ke atas Sergio Ramos yang dikendalikan pasukan perubatan Real Madrid, dia mengalami kecederaan patah hidung,” kata pasukan itu menerusi satu kenyataan.

Real berang apabila pengadil, David Fernandez Borbalan tidak menghadiahkan sepakan penalti selepas kaki Lucas Hernandez hinggap di muka Ramos pada aksi terbabit.

Real Madrid tidak menyatakan tempoh Ramos bakal diketepikan, namun media tempatan, Marca melaporkan dia akan kembali dengan bantuan topeng pelindung muka pada aksi bertemu Malaga di Santiago Bernabeu, minggu depan.

“Saya sanggup untuk mengalami kecederaan demi lencana dan jersi pasukan ini,” kata Ramos menerusi akaun Twitternya dengan dia turut mengepilkan gambar mukanya yang berdarah.

“Terima kasih untuk sokongan anda. Saya akan kembali secepat mungkin.”

Ramos dijangka bakal diketepikan bagi aksi Liga Juara-Juara bertemu APOEL Nicosia, Selasa ini dengan kemenangan akan mengesahkan tempat Real ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 11:23 AM